Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, penulis ingin mengajak perbincangan berkenaan dengan galakkan untuk sama-sama kita menjana akal, untuk berfikir. Inilah yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Adapun memikirkan ayat-ayat tentang kekuasaan Allah, dalam menciptakan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya malam dan siang serta kejadian manusia itu sendiri sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di bumi bukti-bukti kebesaran dan kekuasaan Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat? (al-Zariyat: 20-21)
Keistimewaan ciptaan Allah SWT yang membezakan manusia dengan haiwan ialah akal yang membolehkan manusia berfikir dan mendapat hidayah ke arah yang benar dan betul dengan taufik Allah SWT.
Berfikir adalah aktiviti menggunakan maklumat yang sedia ada dan diketahui untuk mengenali hakikat sesuatu yang belum diketahui.
Selagi maklumat tersebut menepati syarat yang benar, selagi itulah ia menghasilkan natijah yang baik.
Adapun maklumat dan pengetahuan itu benar dan tepat, ia akan mendorong seseorang ke arah keperibadian yang mulia dan beramal soleh yang membawa mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Manusia ialah makhluk yang tidak boleh dikuasai dengan paksaan semata-mata. Sebaliknya, mereka boleh dibentuk dan dipimpin melalui pemikiran dan prinsip nilai dan harga diri.
Justeru, apabila manusia mengamalkan nilai-nilai tersebut maka seluruh tingkah laku dan akhlak mereka menjadi cemerlang.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, berfikir ialah menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu mempertimbangkan baik-baik dan sebagainya.
Islam menggalakkan umatnya menggunakan akal fikiran untuk mencapai kepada matlamat kehidupan yang lebih baik dengan menggunakan fikiran yang bernas bersumberkan wahyu Ilahi dan petunjuk Nabi. Begitu juga pengalaman orang-orang soleh sudah tentu dapat menyelesaikan banyak kemelut kehidupan.
Bukan sekadar itu sahaja, tetapi ia boleh melonjakkan seseorang untuk merentasi masa dan kemajuan tamadun dengan pantas. Ini bermula dengan fikiran dan langkah yang pertama akan dapat melahirkan dan merealisasikan perkara yang dianggap mustahil pada hukum adat. Itulah kekuatan fikiran.
Abu Laith berkata: Jika seseorang ingin mencapai fadilat tafakur, maka hendaklah berfikir dalam lima cara.
1. Memikirkan ayat-ayat yang membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah.
2. Memikirkan nikmat pemberian Allah.
3. Memikirkan pahala yang dijanjikan oleh Allah.
4. Memikirkan seksaan hukuman Allah.
5. Memikirkan apa yang diredai dan dimurkai oleh Allah.
Ada juga pendapat: Ala’ itu tibanya nikmat, dan na’ma itu terhindarnya bala. Firman Allah yang bermaksud: Jika kamu akan menghitung nikmat Allah nescaya tidak terhitung. Maka apabila seorang memikirkan nikmat-nikmat Allah akan timbul rasa cinta kepada para walinya, maka memikirkan yang demikian menambah kerajinan, ketangkasan beribadat dan taat.
Malah apabila memikirkan azab yang telah diperingatkan Allah pada orang-orang yang kafir, maka itu akan menimbulkan rasa takut sehingga lebih ringan untuk meninggalkan segala larangan Allah.
Adapun kebaikan Allah ketika menutupi dosa-dosanya dan tidak terburu-buru menyeksa, bahkan masih tetap dipanggil supaya bertaubat, maka memikirkan yang demikian ini menimbulkan rasa malu pada Allah SWT.
Apabila seorang memikirkan yang lima ini, maka ia termasuk dalam golongan orang yang disebut dalam hadis Nabi SAW: “Berfikir sesaat lebih afdal daripada ibadat satu tahun. Dan jangan berfikir selain yang tersebut itu, kerana timbulnya fikiran pada yang lain-lain itu hanya berupa was-was belaka.”
Apabila fikiran manusia berkembang, ia menyebabkan daya tafakur manusia berkembang sama. Oleh itu, wujud kepelbagaian dalam kejadian dan kehidupan. Manusia cenderung mengambil perspektif dalam berfikir.
Daya tafakur menyebabkan manusia bersikap kreatif dan kreativiti manusia melakukan rekaan dan gubahan menyebabkan fikirannya berkembang dan memberi manfaat kepada yang lain. Sekiranya fikiran manusia membeku tidak akan ada kemajuan dan perubahan dan ia menyebabkan pemikiran menjadi beku dan kadang-kadang jumud.
Semoga Allah memberi kepada kita kelapangan dalam hidup, untuk menjadi hamba Allah yang soleh, yang sentiasa menjana akal fikiran kearah kebaikan. Amin.
Sumber: http://epondok.wordpress.com/
amin....
ReplyDelete