Thursday, April 16, 2020

Keutamaan tadabbur al-Quran

SETIAP Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya.
Oleh Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman
AL-QURAN dipelihara dengan dua keadaan, iaitu terpelihara dalam mashaf (fis sutur) dan dalam dada penghafaz al-Quran (fis sudur).
Bagaimanapun kitab suci ini bukan sahaja digalakkan untuk menghafaznya, malahan setiap Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta mentadabbur, antaranya ialah sepotong ayat yang bermaksud: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad, ayat 29).
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian) tidak mahu memikirkan (mentadabbur) isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82).
Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dibaca malahan dituntut supaya difahami, dihayati dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan ini.
Umat Islam sentiasa digalakkan agar sentiasa menghayati dan mengkaji ayat al-Quran agar mereka beroleh mutiara ilmu serta hikmah daripadanya.
Manusia perlu melakukan tadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran secara mendalam agar petunjuk yang diberikan Allah SWT dalam kitab suci al-Quran al-Karim itu dapat memperteguhkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Di samping itu, penelitian dan tadabbur terhadap ayat suci al-Quran al-Karim akan menginsafkan betapa kerdilnya manusia dan betapa Agung-Nya Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Menurut Syeikh Habannakah, Tadabbur ialah proses pemikiran mendalam, penelitian dan penghayatan terhadap isyarat daripada ayat al-Quran setelah memahami maksud ayat menerusi tafsir.
Tadabbur dapat menyingkap rahsia, mukjizat dan tuntutan sebenar al-Quran. Perkataan tadabbur hanya digunakan terhadap ayat al-Quran, sebaliknya perkataan digunakan untuk proses yang sama terhadap perkara lain ialah tafakkur.
As-Suyuti (911H) menyatakan bahawa tadabbur melibatkan penelitian mendalam yang membabitkan unsur hati. Hati yang serta-merta tunduk mentaati Allah hasil tadabbur akan menambahkan iman dan penghayatan amalan.
Kajian dan tadabbur terhadap al-Quran sentiasa menghasilkan penemuan kepada keajaiban al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadikannya mukjizat terulung yang diturunkan Allah SWT.
Allah mencabar Musyrikin Quraish untuk mendatangkan kata-kata seumpama al-Quran dalam firman-Nya bermaksud: “(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti al-Quran itu, jika betul mereka orang yang benar dakwaannya.” (Surah At-Tur, ayat 34).
Cabaran ini diulang lagi dalam surah Hud ayat 13 dan surah al-Baqarah ayat 23. Allah mencabar mereka untuk mendatangkan 10 surah yang sama seperti al-Quran.
Apabila mereka gagal, cabaran itu dikurangkan kepada satu surah sahaja. Akhirnya kegagalan mereka ini dihuraikan dalam surah al-Isra’ ayat 88 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”
Al-Tabari menegaskan dalam tafsirannya kepada ayat 14 Surah Hud bahawa apabila manusia gagal untuk menjawab semua cabaran itu, hendaklah mereka sedar bahawa al-Quran itu diturunkan Allah Yang Maha Berkuasa. Nabi Muhammad SAW tidak mereka-reka al-Quran kerana tiada manusia yang mampu melakukannya.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan al-Quran), maka ketahuilah bahawa al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah dan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya? (Surah Hud, ayat 14).
Justeru setiap penelitian yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran termasuk dalam tadabbur. Di sinilah terbukti keunikan al-Quran. Ia mencabar bangsa Arab yang terkenal hebat dan mahir berbahasa dengan bahasanya sendiri.
Bahkan setiap huruf al-Quran, frasa dan ayat-ayatnya sentiasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tidak mungkin manusia dapat menukar ganti kedudukan, bentuk bahkan baris setiap perkataan al-Quran.
Penulis adalah Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:15 AM


Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/03/557832/keutamaan-tadabbur-al-quran

Wednesday, April 8, 2020

Solat tahajud anugerah terindah

4 Kelebihan Utama Solat Tahajjud Di Akhir Malam | Pnext.biz

Dr Azlan Shaiful Baharum
mimbar@hmetro.com.my
 SEORANG Muslim yang bertaqwa akan melakukan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.
Menjalankan perintah Allah salah satunya iaitu dengan menunaikan solat. Ia anugerah terindah yang hanya diberikan Allah kepada umat ini.
Solat yang diwajibkan iaitu solat fardu lima kali dalam sehari semalam. Sedangkan solat sunat itu tidak wajib dilakukan, tetapi jika dilakukan akan mendapat pahala serta keutamaan.
Salah satu solat sunat yang sangat dianjurkan untuk ditunaikan umat Muslim iaitu solat tahajud.
Solat tahajud adalah solat sunat yang ditunaikan pada malam hari iaitu waktu yang utama sepertiga malam dan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa.
Pada waktu berkenaan malaikat turun ke bumi. Allah berfirman dalam Surah Al-Muzammil ayat 1-4 yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil’.
Solat tahajud dilakukan paling minimum iaitu dua rakaat dan paling maksimum tiada batasannya serta diakhiri dengan solat witir sebagai penutup.
Diriwayatkan Saidatina Aisyah R.A, ia berkata: “Nabi SAW menunaikan solat malam hingga bengkak kedua-dua telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda, ‘Mengapakah engkau melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah? ‘Baginda menjawab, Adakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi yang dijamin keselamatan serta kebahagiaannya di syurga pun sentiasa melaksanakan solat tahajud, tetapi adakah kita masih ragu-ragu untuk melaksanakannya? Solat tahajud tidak hanya bermanfaat untuk di ahkirat nanti iaitu mendapat pahala, diampunkan dosa, ditinggikan darjatnya, tetapi solat tahajud juga mempunyai banyak manfaat lain yang boleh kita rasakan sekarang.
Seseorang yang selalu terbiasa solat tahajud akan dapat mengawal emosinya, kerana mempunyai ketenangan dan kedamaian jiwa.
Solat tahajud adalah ibadah saranan mendekatkan diri kepada Allah.
Jika kita ingin meminta sesuatu tentunya kita perlu mendekatkan diri kepada yang akan kita minta. Seperti kita ingin meminta keampunan atas dosa yang kita lakukan, maka kita perlu mendekatkan diri kepada Allah supaya taubat nasuha kita diterima.
Solat tahajud hanya dilakukan secara rutin dan istiqamah oleh orang yang mempunyai niat tulus sehingga keistimewaan solat tahajud diberikan kepada orang yang mahu dan mampu melakukan solat tahajud dengaan penuh keikhlasan.
Jom kita tingkatkan amalan solat tahajud kita. Semoga dengan solat tahajud yang kita tunaikan, Allah akan memperkenankan permohonan kita semua, terutama dalam mendepani kes Covid-19 yang semakin meningkat di negara kita.
Ya Allah! Jauhkanlah bala dan wabak ini seberapa segera dari negara kami Malaysia khususnya dan negara umat Islam serta seluruh dunia umumnya.
Penulis ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:05 AM


Saturday, February 1, 2020

Kebaikan berwuduk sebelum tidur


Anjuran Berwudhu Sebelum Tidur - Bincang Syariah
SEBELUM tidur kita disunatkan berwuduk. Sekiranya terbatal, perlukah bangun dan memperbaharui wuduk dan apakah kelebihan berwuduk sebelum tidur?
Daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepadaku maksudnya: “Apabila kamu datang ke tempat perbaringan, hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan dan berdoalah: ‘Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu dan aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku sandarkan belakangku kepada-Mu dengan penuh rasa harap dan takut kepada-Mu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripada-Mu. Aku beriman dengan kitab-Mu yang Kamu turunkan dan nabi-Mu yang Kamu utuskan.’”
“Sekiranya kamu mati, nescaya kamu mati di atas fitrah dan jadikanlah rangkuman
doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca. (Riwayat al-Bukhari – 6311)
Dalam sebuah hadis yang turut diriwayatkan al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” (Riwayat al-Bukhari – 247 dan Muslim – 2710)



Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Hadis itu terdapat tiga sunah. Salah satunya berwuduk untuk tidur kerana dibimbangi Allah mematikannya tanpa taharah (tanpa dalam keadaan bersuci). Seterusnya supaya mimpinya benar serta jauh daripada permainan syaitan dalam mimpinya dan yang menakutkannya.  Ketiga, jika dia mati, maka akhir amalannya di dunia adalah bertaharah serta zikrullah. (Lihat  Ikmal al-Mu’lim, 8/207)
Menjawab persoalan di atas, apabila seorang Islam berwuduk untuk tidur dan kemudian terbatal sebelum dia tidur, maka sunat baginya mengulangi wuduk.
Ini kerana maksud wuduk ialah supaya seseorang tidur dalam keadaan suci.
Berdasarkan sebuah hadis daripada Muaz bin Jabal R.A, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Islam yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan taharah, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali Allah SWT perkenankan hajatnya.” (Riwayat Abu Daud – 5042) dan Ibn Majah – 3881)
Muhammad Kamil Abd al-Somad, dalam bukunya  al-I’jaz al-Ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah  menjelaskan, manfaat dalam wuduk sangat  besar untuk tubuh badan manusia.
Mula  daripada membasuh tangan dan menyela-nyela jari, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam lubang hidung, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan sampai siku, mengusap kepala, membasuh telinga, kemudian membasuh kaki hingga buku lali.
Justeru, bagaimana pula jika dilakukan wuduk sebelum tidur? Ramai pakar kesihatan menganjurkan agar membersihkan kaki, mulut dan muka sebelum tidur.
Bahkan, sejumlah pakar kecantikan yang menghasilkan alat kecantikan mencadangkan agar dapat menjaga kesihatan kulit muka.
Selain itu, galakan berwuduk juga mengandungi nilai ibadat  yang tinggi.
Jika seseorang berada dalam keadaan suci, bererti dia dekat dengan Allah.
Sebenarnya, terlalu banyak rahsia dan hikmah wuduk kerana kita yakin setiap perintah Allah pasti mempunyai maslahat dan manfaat serta menolak mudarat.
Sumber: https://epondok.wordpress.com/

Tuesday, December 17, 2019

Mulianya pembaca al-Quran

Pembaca al-Quran sebenarnya mempunyai kedudukan terpuji di dunia dan akhirat. Mana tidaknya di saat orang ramai berharap bantuan dan pertolongan di Hari Kiamat, pembaca al-Quran dijanjikan dengan syafaat yang tersendiri. Ini seperti sabdanya yang bermaksud “Bacalah al-Quran kerana dia pada hari kiamat akan datang memberi syafaat kepada para sahabatnya (Riwayat Muslim).
Lebih mulia lagi pembaca al- Quran di akhirat akan dipinta untuk membaca al-Quran dan masuk ke dalam syurga. Dalam sebuah riwayat disebutkan “Bacalah al-Quran dan naiklah ke syurga, Bacalah dengan tartil seperti engkau membacanya di dunia, kerana syurga yang engkau tempati berdasarkan ayat terakhir yang kau baca”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan Tirmizi)
Justeru, masyarakat Islam diajak turut sama membaca al-Quran ataupun mendengarkan bacaannya setiap hari. Ini supaya aktiviti membaca al-Quran dapat dilakukan sepanjang masa dan tidak terhad melalui aktiviti khatam al-Quran di majlis-majlis tertentu sahaja.
Molek juga jika dapat diprogramkan untuk khatam sebulan sekali ataupun setidak-tidaknya setahun sekali agar al-Quran dan pengajarannya dekat dengan hati sanubari setiap muslimin. Begitu pula disarankan agar di rumah, di pejabat, di toko-toko perniagaan mahupun di dalam kenderaan diperdengarkan bacaan al-Quran demi mengharap ganjaran yang dijanjikan.
Kedudukan al-Quran sebagai kitab suci yang dipelihara Allah daripada sebarang penyelewengan dan kekurangan jelas dapat dilihat dari sudut kemukjizatannya dalam pelbagai bidang sains dan teknologi masa kini. Ia sekali gus mengajak ilmuwan untuk terus mengkaji dan meneliti kebenaran al-Quran seraya beriman dengan Allah SWT Tuhan sekelian alam.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON
Sumber: https://epondok.wordpress.com/

Sunday, December 8, 2019

Amal 10 adab dalam pekerjaan, gaji berkat

ISLAM menggariskan adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang beriman dalam mencari rezeki sama ada menjadi pekerja awam, swasta mahupun bekerja sendiri.
Ini untuk memastikan setiap pekerjaan membuahkan hasil dalam bentuk rezeki halal, malah lebih penting mendapat keredaan Allah SWT.
Malah keredaan Allah SWT inilah yang menjadikan rezeki yang diperoleh bukan sahaja halal, bahkan berkat dalam erti kata kebaikan yang melimpah-ruah.
Ia menjadi rahsia kepada orang beriman yang sebahagiannya memiliki pendapatan kecil atau sederhana tetapi bahagia dalam kehidupannya sama ada sebagai individu mahupun keluarga.
Berikut 10 adab yang boleh diamalkan untuk memastikan pekerjaan kita membuahkan hasil yang halal dan berkat.
1. Membaca doa sebelum keluar rumah. Antara yang boleh diamalkan ialah, ‘Dengan nama Allah, aku bertawakal dengan Allah dan tiada daya dan upaya kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Agung.
2. Niat keluar bekerja dengan ikhlas kepada Allah SWT untuk mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga serta menyumbang kepada masyarakat. Abu Mas’ud RA berkata Nabi SAW bersabda: Apabila seorang lelaki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah. (HR Bukhari)
3. Bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berusaha gigih kerana mengikuti pesanan Nabawi seperti hadis yang diriwayatkan Saidatina Aishah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang hamba yang apabila dia bekerja, dia menyempurnakan pekerjaannya. (HR Tabrani)
4. Menunaikan tugas dan tanggungjawab dalam pekerjaan dengan jujur serta amanah, sekali gus tidak menyalahgunakan jawatan, kuasa dan harta. Abdullah Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wajib ke atasmu jujur kerana sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan menunjukkan ke syurga serta seseorang selalu jujur dan memelihara kejujuran hingga ditulis dan di sisi Allah sebagai orang jujur. (HR Tirmizi)
5. Tidak terbabit dengan pekerjaan haram atau syubhah, iaitu yang tidak jelas halal-haram. Nu’man Basyir RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perkara halal itu jelas, perkara haram juga jelas dan antara keduanya adalah syuhbat; banyak orang tidak mengetahui apakah perkara halal atau haram dan sesiapa meninggalkannya bebaslah ia untuk agama dan kehormatannya serta selamat (daripada kecaman syaral). Dan barang siapa terjatuh di dalamnya, dikhuatiri terjatuh dalam keharaman. (HR Tirmizi)
6. Tidak melakukan perbuatan dosa dan mungkar kerana ia boleh menjadi sebab terhalangnya rezeki seperti hadis diriwayatkan Tsauban RA yang berkata Rasulullah SAW bersabda: Tiada sesuatu yang boleh menambah umur kecuali kebajikan dan tiada sesuatu boleh menolak takdir kecuali doa. Sesungguhnya seseorang akan tercegah daripada rezeki oleh sebab dosa yang dia lakukan. (HR Ibnu Majah)
7. Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh seperti yang diriwayatkan Abdullah ibnu ‘Amru ibnu ‘Ash RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sungguh amat beruntunglah orang Islam (berserah diri) dan berasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya. (HR Muslim)
8. Bersedekah kerana sebahagian apa yang diperolehnya juga menjadi hak orang lain dan meyakini hartanya tidak akan berkurang dengan ibadat itu. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. (HR Muslim)
9. Tidak menjadikan alasan sibuk mencari rezeki untuk tidak beribadat kerana Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, kerjakanlah ibadat semata-mata untuk-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku tutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak mengerjakannya, maka Aku penuhi dadamu dengan kesibukan tetapi Aku tidak menutup kemiskinanmu.” (HR Ibnu Majah)
10. Bertawakal kepada Allah SWT selepas melaksanakan tugasan atau pekerjaan. Umar al-Khathab RA berkata Rasulullah SAW bersabda: Sungguh kalau kamu sekalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sungguh-sungguh, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang. (HR Tirmizi)
Sumber: epondok

Sunday, December 1, 2019

Jadikan istighfar, selawat sebagai rutin


SEBAGAI seorang Mukmin yang sejati, istighfar dan selawat seharusnya menjadi rutin kita pada setiap hari.
Istighfar dan berselawat sebenarnya elok diamalkan pada awal permulaan hari hinggalah ke hujung hari berkenaan.
Bilakah waktu terbaik untuk beristighfar dan berselawat?
Seeloknya ia dilakukan selepas solat Subuh hingga terbit matahari dan selepas asar hingga tenggelamnya matahari.
Pada masa sama, jangan lepaskan peluang untuk membaca penghulu segala istighfar yang terkandung dalam zikir al-Mathurat pada setiap pagi dan petang.
Ia sebagaimana disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW dengan lafaz: “Ya ALLAH, Engkau ialah Tuhanku, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau menjadikan aku dan aku ialah hamba-Mu. Aku berada di atas perjanjian-Mu sedapat yang aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang aku buat. Aku mengakui nikmat-Mu kepada-Ku dan aku mengakui dosaku. Oleh kerana itu, ampunilah aku. Sesungguhnya, tiada yang mengampuni dosa melainkan Engkau.”
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengucapkan pada siang hari dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang hari, maka dia termasuk penghuni syurga dan sesiapa yang mengucapkan pada waktu malam dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati sebelum subuh, maka dia termasuk penghuni syurga.” (Sahih Riwayat al-Bukhari)
Subhanallah, begitu besarnya ganjaran yang dijanjikan ALLAH SWT kepada orang yang membaca istighfar berkenaan.
Paling tidak pun, istighfar dan berselawatlah sekurang-kurangnya 100 kali sehari kerana melalui fadilatnya, ALLAH SWT akan memberi keampunan, dimurahkan rezeki, dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka dan diberi jalan keluar daripada sebarang kesusahan.
Gunakanlah lidah yang dikurniakan ALLAH dengan sebaik-baiknya dengan memuji kebesaran-Nya dan memohon keampunan-Nya.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu kali, ALLAH akan berselawat kepadanya 10 kali.” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Justeru, mari kita sama-sama merebut ganjaran ALLAH itu.
Mudah-mudahan dengan selawat dan istighfar itu, ALLAH akan mempermudahkan segala urusan kita.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)

Sumber: https://epondok.wordpress.com/page/9/

Wednesday, November 27, 2019

Kebaikan berwuduk sebelum tidur

Qira’ah Fatwa
Sebelum tidur kita disunatkan berwuduk. Sekiranya terbatal, perlukah bangun dan memperbaharui wuduk dan apakah kelebihan berwuduk sebelum tidur?

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepadaku maksudnya: “Apabila kamu datang ke tempat perbaringan, hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan dan berdoalah: ‘Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu dan aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku sandarkan belakangku kepada-Mu dengan penuh rasa harap dan takut kepada-Mu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripada-Mu. Aku beriman dengan kitab-Mu yang Kamu turunkan dan nabi-Mu yang Kamu utuskan.’”
“Sekiranya kamu mati, nescaya kamu mati di atas fitrah dan jadikanlah rangkuman
doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca. (Riwayat al-Bukhari - 6311)
Dalam sebuah hadis yang turut diriwayatkan al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” (Riwayat al-Bukhari - 247 dan Muslim - 2710)
Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Hadis itu terdapat tiga sunah. Salah satunya berwuduk untuk tidur kerana dibimbangi Allah mematikannya tanpa taharah (tanpa dalam keadaan bersuci). Seterusnya supaya mimpinya benar serta jauh daripada permainan syaitan dalam mimpinya dan yang menakutkannya.  Ketiga, jika dia mati, maka akhir amalannya di dunia adalah bertaharah serta zikrullah. (Lihat  Ikmal al-Mu’lim, 8/207)
Menjawab persoalan di atas, apabila seorang Islam berwuduk untuk tidur dan kemudian terbatal sebelum dia tidur, maka sunat baginya mengulangi wuduk.
Ini kerana maksud wuduk ialah supaya seseorang tidur dalam keadaan suci.
Berdasarkan sebuah hadis daripada Muaz bin Jabal R.A, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Islam yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan taharah, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali Allah SWT perkenankan hajatnya.” (Riwayat Abu Daud - 5042) dan Ibn Majah - 3881)
Muhammad Kamil Abd al-Somad, dalam bukunya  al-I’jaz al-Ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah  menjelaskan, manfaat dalam wuduk sangat  besar untuk tubuh badan manusia.
Mula  daripada membasuh tangan dan menyela-nyela jari, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam lubang hidung, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan sampai siku, mengusap kepala, membasuh telinga, kemudian membasuh kaki hingga buku lali.
Justeru, bagaimana pula jika dilakukan wuduk sebelum tidur? Ramai pakar kesihatan menganjurkan agar membersihkan kaki, mulut dan muka sebelum tidur.
Bahkan, sejumlah pakar kecantikan yang menghasilkan alat kecantikan mencadangkan agar dapat menjaga kesihatan kulit muka.
Selain itu, galakan berwuduk juga mengandungi nilai ibadat  yang tinggi.
Jika seseorang berada dalam keadaan suci, bererti dia dekat dengan Allah.
Sebenarnya, terlalu banyak rahsia dan hikmah wuduk kerana kita yakin setiap perintah Allah pasti mempunyai maslahat dan manfaat serta menolak mudarat.

>>Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan



Monday, November 25, 2019

Ambil serius kuasa doa
Oleh Latifah Arifin
KUASA doa amat besar dan menakjubkan kerana ia lafaz puji-pujian untuk memohon sesuatu yang dihajati daripada seorang hamba kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghafir: 60)
Oleh itu, kita dianjurkan mendahului setiap perbuatan atau pekerjaan dengan doa yang turut disifatkan sebagai antara senjata mukmin sejati.
Orang beriman dan beramal soleh meyakini doa akan mengiringi setiap perjalanannya, bahkan dengan melazimi amalan itu, ia akan merapatkan seseorang dengan Allah SWT secara rohani.
Maka, amat rugi sekiranya begitu banyak doa amalan harian tidak dijadikan rutin dalam kehidupan seharian.
Seawal bangun daripada tidur, ketika memakai pakaian, keluar ke rumah, saat hendak menjamah makanan hinggalah detik berdepan dengan musibah terdapat doa khusus yang boleh diamalkan.
Islam begitu tersusun secara indah dengan pensyariatan yang begitu lengkap kepada manusia, manakala sumbernya diperakui daripada al-Quran, sunah dan tinggalan ilmu ulama yang terus subur hingga ke hari ini.
Dalam kitab Ad-Daa’ Wad Dawaa’, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyifatkan doa sebagai ubat yang sangat bermanfaat, sekali gus diibaratkan musuh bagi segala bencana dan musibah yang menimpa kaum Muslimin.
Saidina Ali Abu Talib RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Doa ialah senjata kaum Muslimin dan tiang agama serta cahaya langit dan bumi. (HR Hakim
Bagaimanapun, sebelum berdoa seharusnya kita mengambil cakna apakah kaedah dan adab yang dianjurkan Islam sebelum melaksanakannya.
Fadhalah ‘Ubaid RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW mendengar seseorang berdoa dalam solatnya dan tidak mengucapkan selawat kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda: “Orang ini tergesa-gesa.”
Lalu, Baginda memanggil dan bersabda kepadanya atau kepada orang lain: “Apabila salah seorang antara kamu bersolat, hendaklah dia memulakan (doanya) dengan memuji Allah SWT, kemudian berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan selepas itu, berdoa dengan apa yang dikehendaki.” (HR Tirmizi)
Selain itu, ketika berdoa, kita boleh memilih waktu yang diistilahkan sebagai waktu mustajab seperti pada hari Jumaat dan ketika waktu malam, iaitu dua pertiga daripadanya.
Waktu lain yang afdal untuk berdoa adalah di antara azan dan iqamat.
Anas RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak oleh Allah SWT. (HR Abu Daud)
Antara lain turut digalakkan mengambil wuduk dan membaca lafaz doa dengan memahami maknanya, menyebut dengan betul dan menghayati sepenuhnya dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.
Seperkara perlu kita ketahui, berdoa juga tergolong dalam ibadah. Orang sentiasa mengamalkan doa dalam hidup juga dijanjikan ganjaran dan keberkatan bukan sahaja di dunia, malah lebih penting di akhirat kelak.
Maka selepas diketahui kepentingan dan kemuliaan doa, setiap umat Islam perlu lebih berhati-hati dan serius dalam berdoa.
Perbuatan mensia-siakan amalan doa mahupun memperkecilkan kekuatannya perlu dihindari, kerana siapa tahu satu masa nanti ada di antara kita berada dalam keadaan sukar dan tanpa hala tuju.
Pada saat itu, hanya doa yang menjadi galang ganti dan ikhtiar terakhir untuk mencari jalan keluar menyelamatkan diri mahupun keluarga untuk tidak terus hanyut dalam kegelapan.

Tuesday, February 19, 2019

Kelebihan membaca Surah al-Kahfi


Dr Mohd Murshidi Mohd Noor
Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah al-Kahfi pada setiap malam Jumaat, itu adalah amalan yang baik dan dituntut.
Kemungkinan masyarakat Melayu di Nusantara konsisten mengamalkan membaca Surah Yasin pada setiap malam Jumaat secara berjemaah memandangkan surah itu lebih pendek berbanding surah al-Kahfi.
Selain itu, bacaan Surah Yasin apabila dibaca secara tartil (tertib dan mengikut hukum tajwid) akan selesai dalam tempoh yang sesuai iaitu sebelum masuk waktu Isyak.
Berbanding bacaan Surah al-Kahfi, jika dibaca beramai-ramai serta dengan bacaan tartil, kemungkinan ia mengambil masa lama dan membebankan sebahagian orang yang ada urusan tertentu kerana surah itu agak panjang.
Surah Yasin adalah ‘jantung al-Quran’ dan terdapat kelebihan bagi sesiapa yang membacanya manakala Surah al-Kahfi seeloknya dibaca secara individu kerana setiap orang mempunyai masa lapang yang berbeza.
Maka, Surah al-Kahfi boleh saja dibaca secara bersendirian di rumah bagi menghidupkan amalan sunah. Ia bertepatan dengan hadis lain yang menyarankan kita agar menghidupkan amalan sunah di rumah.
Pada malam Jumaat atau hari Jumaat memang disunatkan kita membaca Surah al-Kahfi berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW antaranya, “Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Kaabah).” (Riwayat ad-Darimi)
Islam amat mementingkan sesuatu amalan itu dilakukan secara istiqamah walaupun ia dilihat ringkas dan sederhana.
Masa yang Allah SWT berikan cukup luas untuk kita mendapatkan kurnia dan rahmat-Nya.
Semoga kita mendapat rahmat dan reda Allah SWT dengan sentiasa menghidupkan amalan sunah yang diajarkan oleh ulama dengan kefahaman yang tepat dan bersesuaian dengan syarak.
Kedua-dua surah itu antara surah yang terdapat dalam al-Quran.
Membaca al-Quran adalah satu ibadat dan diberikan ganjaran pahala yang besar.
Umat Islam sentiasa digalakkan untuk melazimi membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat.
Daripada Abdullah bin Mas’ud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan ‘Alif Laam Miim’ satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi)
Penulis Pengurus Bahagian Pengurusan Zakat, Wakaf dan Endowmen Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan Universiti Utara Malaysia
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:57 AM


Saturday, August 11, 2018

Amalan pilihan 10 hari Zulhijjah











Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
DALAM bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.
Pada hari itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.
Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah, “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).
Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan Allah SWT tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan peperangan.
Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda, “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, “Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?”. Jawab Baginda, “Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. (Hadis Bukhari)
Dalam hadis lain, Rasulullah juga bersabda, ” Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (Hadis Ahmad).
Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.
Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.
Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.
Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.
Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.
Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.
Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal daripada tanah.
Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.
 Sumber: https://epondok.wordpress.com/2018/08/10/amalan-pilihan-10-hari-zulhijjah/

Saturday, May 19, 2018

11 Amalan terbaik sepanjang Ramadhan

Tulisan Shahmuzir Nordzahir

“Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah.  Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya.  Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan.   Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan beberapa kitab muktabar yang lain.  Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

1.  Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.”  Ada seseorang bertanya:  “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?”  Ia menjawab:  “Kira-kira 50 ayat.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.”  (HR Muslim)

2.  Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka

Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat.  Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering).  Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.”  (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3.  Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.

Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4.  Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:  “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””.  (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

5.  Bersiwak atau menggosok gigi. 

Amir bin Rabi’ah berkata,  “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa.  Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.”  (HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.”  (HR Bukhari)

6.  Bermurah hati dan banyak menderma.

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril.  Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran.  Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.”  (HR Bukhari)

7.  Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya.  Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran.  Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.

8.  Memberi makan untuk berbuka puasa.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”  (HR At Turmudzy)

9.  Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:  “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.”  (HR Bukhari & Muslim) 

10.  Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan

Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:  “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.”  (HR Bukhari & Muslim)

11.  Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.”  (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:  “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.”  (HR Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas.  Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.