Dr Azlan Shaiful Baharum
mimbar@hmetro.com.my
Menjalankan perintah Allah salah
satunya iaitu dengan menunaikan solat. Ia anugerah terindah yang hanya
diberikan Allah kepada umat ini.
Solat yang diwajibkan iaitu solat
fardu lima kali dalam sehari semalam. Sedangkan solat sunat itu tidak wajib
dilakukan, tetapi jika dilakukan akan mendapat pahala serta keutamaan.
Salah satu solat sunat yang sangat
dianjurkan untuk ditunaikan umat Muslim iaitu solat tahajud.
Solat tahajud adalah solat sunat
yang ditunaikan pada malam hari iaitu waktu yang utama sepertiga malam dan
waktu yang sangat mustajab untuk berdoa.
Pada waktu berkenaan malaikat
turun ke bumi. Allah berfirman dalam Surah Al-Muzammil ayat 1-4 yang
bermaksud: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajud pada waktu
malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat) iaitu
separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun
lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil’.
Solat tahajud dilakukan paling
minimum iaitu dua rakaat dan paling maksimum tiada batasannya serta diakhiri
dengan solat witir sebagai penutup.
Diriwayatkan Saidatina Aisyah R.A,
ia berkata: “Nabi SAW menunaikan solat malam hingga bengkak kedua-dua
telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda, ‘Mengapakah engkau
melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang
akan datang telah diampunkan oleh Allah? ‘Baginda menjawab, Adakah aku tidak
boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?” (Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Nabi yang dijamin keselamatan
serta kebahagiaannya di syurga pun sentiasa melaksanakan solat tahajud, tetapi
adakah kita masih ragu-ragu untuk melaksanakannya? Solat tahajud tidak hanya
bermanfaat untuk di ahkirat nanti iaitu mendapat pahala, diampunkan dosa,
ditinggikan darjatnya, tetapi solat tahajud juga mempunyai banyak manfaat lain
yang boleh kita rasakan sekarang.
Seseorang yang selalu terbiasa
solat tahajud akan dapat mengawal emosinya, kerana mempunyai ketenangan dan
kedamaian jiwa.
Solat tahajud adalah ibadah
saranan mendekatkan diri kepada Allah.
Jika kita ingin meminta sesuatu
tentunya kita perlu mendekatkan diri kepada yang akan kita minta. Seperti kita
ingin meminta keampunan atas dosa yang kita lakukan, maka kita perlu
mendekatkan diri kepada Allah supaya taubat nasuha kita diterima.
Solat tahajud hanya dilakukan
secara rutin dan istiqamah oleh orang yang mempunyai niat tulus sehingga
keistimewaan solat tahajud diberikan kepada orang yang mahu dan mampu melakukan
solat tahajud dengaan penuh keikhlasan.
Jom kita tingkatkan amalan solat
tahajud kita. Semoga dengan solat tahajud yang kita tunaikan, Allah akan
memperkenankan permohonan kita semua, terutama dalam mendepani kes Covid-19
yang semakin meningkat di negara kita.
Ya Allah! Jauhkanlah bala dan
wabak ini seberapa segera dari negara kami Malaysia khususnya dan negara umat
Islam serta seluruh dunia umumnya.
Penulis ialah Timbalan Dekan Hal
Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains
Islam Malaysia (Usim)
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:05
AM
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)