Saturday, December 7, 2019

JANGAN BERSEDIH DENGAN URUSAN DUNIA

Seorang lelaki yang sedang dirundung kesedihan datang menemui Sayyidina Ali bin Abi Thalib, ia pun berkata:
Wahai Amirul Mukminin, aku datang kepadamu kerana aku sudah tidak mampu lagi menahan beban kesedihanku.”
Sayidina Ali menjawab, “Aku akan bertanya dua pertanyaan dan jawablah!
Lelaki itu berkata, “Ya, tanyakanlah!
Apakah engkau datang ke dunia bersama dengan masalah-masalah ini?” tanya Ali bin Abi Thalib
Tentu tidak” jawabnya.
Lalu apakah kamu akan meninggalkan dunia dengan membawa masalah-masalah ini?” tanya sayyidina Ali bin Abi Thalib
Tidak juga” jawabnya.
Lalu Sayyidina Ali berkata,
Lalu mengapa kamu harus bersedih atas apa yang tidak kamu bawa saat datang dan tidak mengikutimu saat kamu akan pergi?
Seharusnya hal ini tidak membuatmu bersedih seperti ini.
Bersabarlah atas urusan dunia....
Jadikanlah pandanganmu ke langit lebih panjang dari pandanganmu ke bumi dan kau pun akan mendapat apa yang kau inginkan….
TERSENYUMLAH!
KERANA REZEKI MU TELAH DIBAHAGI DAN DI SUSUN OLEH ALLAH
DAN URUSAN HIDUP MU TELAH PUN DI ATUR OLEH YANG MAHA PENCIPTA..….
Urusan dunia tidak layak untuk membuatmu bersedih semacam ini kerana semuanya ada di tangan Yang Maha Hidup dan Maha Mengatur….”

Sumber: FB Us Ahmad Nasir

Wednesday, December 4, 2019

Tujuh insan terpilih

Fadly Samsudin
Biasanya kita menyenaraikan nikmat yang diperoleh hidup ini seperti sihat tubuh badan, kekayaan harta benda, masa lapang serta nikmat memiliki keluarga yang baik dan pelbagai lagi.
Namun, kita juga perlu memanjatkan rasa kesyukuran kerana memperoleh nikmat teduh. Allah SWT mengurniakan teduhan dengan menjadikan pokok, awan, bukit-bukau, gunung dan sebagainya untuk kita berlindung.
Perkara itu dinyatakan menerusi firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, ayat 81
yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian daripada yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian daripada gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu daripada panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu berserah diri kepada-Nya dan mematuhi perintah-Nya.”
Bayangkan, bagaimana rasa seandainya kita terdedah kepada cahaya matahari, sudah tentu tubuh badan kita berasa tidak selesa, letih dan lemah sehingga boleh memudaratkan diri.
Berbicara mengenai bayang yang dijadikan tempat berteduh, terdapat hadis di mana Nabi SAW menyatakan, di akhirat kelak terdapat tujuh golongan manusia yang akan mendapat teduhan dan naungan-Nya.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:
(1) Pemimpin yang adil
(2) Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadat kepada Allah,
(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana 
     Allah juga,
(5) Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita kaya dan cantik tetapi 
     dia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya 
     tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya, serta
 (7) Seorang yang berzikir kepada Allah pada kala sendiri hingga meleleh air 
      matanya basah kerana menangis.” (Muttafaq ‘Alaih)
Kita semua mendambakan teduhan dan naungan itu bukan saja ketika di dunia, malah lebih utama di akhirat supaya ia kekal sebagai nikmat yang dapat memelihara manusia.
Tiada siapa yang akan mendapat tempat teduh melainkan Allah SWT berikan kepada tujuh golongan berdasarkan hadis di atas.
Jika kita tidak termasuk dalam golongan yang mendapat nikmat teduhan itu, ketahuilah keadaan ketika itu sangat genting dan tersangat panas kerana posisi matahari terpacak sejengkal di atas kepala.
Maka, beruntunglah kepada mereka yang mengakhiri perjalanan hidupnya di dunia ini dengan amal soleh.
Seandainya hidup ini digunakan untuk Allah SWT, maka ‘bayarannya’ adalah kekal selama-lamanya di dalam syurga.
Kehidupan kita di atas muka bumi ini boleh diibaratkan seumpama kita mengambil pasir menggunakan jari.
Pasir yang melekat di jari itulah tempoh kehidupan kita di dunia manakala semua pasir yang berada di dalam lautan di seluruh alam ini, malah lebih daripada itu adalah kehidupan akhirat.
Tidak berbaloi sama sekali kita melakukan maksiat kepada Allah SWT semata-mata untuk dibakar dan diseksa di dalam neraka di mana keadaan ahlinya tidak mati dan juga tidak hidup.
Sehubungan itu, antara doa dan rayuan yang perlu kita sentiasa diamalkan ialah: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada hujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan jadikanlah sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu pada hari kiamat.”
>>Penulis wartawan Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 9:29 AM


Monday, October 28, 2013

MALAIKAT BERDOA KEPADA SESIAPA YANG BERDOA UNTUK ORANG LAIN
Antara amalan mulia yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. ialah berdoa untuk saudara seagama yang lain tanpa pengetahuannya. Amalam ini menyebabkan para malaikat berdoa agar kebaikan yang dipohon itu juga menjadi miliknya.

Doa seperti ini juga adalah mustajab sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.
Daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya : “ Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.”(Riwayat Muslim).

Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud : “Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berdoa untuk kebaikan saudara muslim kita. Jangan doa kita hanyalah semata-mata untuk diri kita sahaja. Begitu indah dan cantiknya ajaran Islam. Islam mendidik kita agar tidak tidak mementingkan diri sendiri.

Apatah lagi janji Rasulullah S.A.W. bahawa doa yang dipanjatkan untuk orang lain tanpa pengetahuannya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. dan diaminkan oleh para malaikat,makhluk Allah S.W.T. yang terpelihara daripada dosa.

Sekiranya anda seorang pelajar, disamping berdoa untuk kebaikan diri sendiri jangan lupa untuk berdoa kepada ibubapa anda, guru-guru anda dan rakan seperjuangan yang bersama-sama ingin mencipta kecemerlangan dalam akademik. Dengan amalan ini, jiwa anda akan suci dan murni daripada sifat hasad dengki dan iri hati terhadap rakan sebaya.

Semoga Allah S.W.T. memberi taufik dan kekuatan iman kepada kita untuk mengamalkan amal soleh yang bermanfaat ini.

Sumber : Di sini

Sunday, June 2, 2013

Selalu Berfikiran Positif
Hati perlu tetap teguh dan jiwa harus tetap utuh, tidak boleh ada kata rapuh, jatuh atau bahkan lumpuh. Hidup terus berjalan, dan kita harus berusaha untuk menghadapinya dengan lebarnya senyuman.
Selalu Berfikiran Positif
Berfikiran positif akan membuat tubuh lebih sihat. Melihat segala sesuatu dari sudut pandang yang lebih membahagiakan. Berikut adalah 5 kelebihan orang yang selalu berfikiran positif, dari penulis K. Wardhanie
1. Berfikiran Positif: Melihat Masalah Sebagai Cabaran
Bandingkan dengan orang yang melihat masalah sebagai cubaan hidup yang terlalu berat dan membuat hidupnya jadi terasa paling sensara di dunia. Dia merasa tercabar untuk mengatasi sesuatu dengan tenaga yang dia miliki.
Dia merasa hidup ini adalah rentetan cabaran yang tidak akan pernah berhenti. Ketika cabaran itu sukar, maka dia akan berkata, “Ini memang sukar tapi kita dapat melakukannya.”
Dia mengkedepankan berita gembira daripada berita buruk.
2. Berfikiran Positif: Menikmati Hidup
Fikiran positif akan membuat seseorang menerima keadaan dirinya dengan besar hati. Apa yang ada pada dirinya adalah sumber motivasi luar biasa yang dapat menampung diri dan hatinya untuk tetap bertahan dalam keadaan apa pun.
Dia boleh saja untuk merasa longlai tidak bermaya, namun dia memilih untuk mensyukuri  apa yang ada dan kemudian mencuba bersikap yakin atasnya.
Dia tidak mudah terpengaruh oleh ejekan orang dan mencuba teguh berdiri menikmati hidup yang diamanahkan Allah kepadanya. Dalam konteks ini, memang akan ada banyak fitnah dan cakap orang tentang keadaan kita.
Sebaiknya kita tidak perlu tenggelam dan sibuk mendengar cakap orang tentang keadaan kita. Kerana sekencang manapun percakapan itu, tidak akan membantu keadaan kita.
Maka nikmati sahaja hidup ini dengan selalu berusaha dan tidak putus asa kerana Allah adalah tempat berharap yang paling utama.
3. Berfikiran Positif: Berfikiran Terbuka Untuk Menerima Saranan dan Idea
Selalu lebih memilih banyak mendengar dan lebih sedikit berbicara. Bersedia untuk dikritik dan selalu bersegera membenihkan diri. Apatah lagi apabila kita masih berusia belia, masukan dan nasihat yang bermakna akan sangat kita perlukan.
Tugas kita adalah mencuba berikhtiar dengan betul, menyandarkan hati pada Allah atas segala keputusan yang akan kita hadapi.
4. Berfikiran Positif: Segera Menghapuskan Fikiran Negatif
Memelihara fikiran negatif dapat diibaratkan membangunkan singa tidur. Fikiran – fikiran negatif nantinya akan membentuk peribadi – peribadi skeptikal, spesimis dan mengalah sebelum bersaing.
Daya saing seseorang menjadi sangat rendah. Kredibilitinya dipersoalkan dan dilihat sebagai tidak mampu dipercayai. Bila keadaan sudah seperti ini, maka tidak sama sekali akan menguntungkan. Maka abaikan dan hapuskan fikiran negatif yang bersarang di hati.
5. Berfikiran Positif: Mensyukuri Apa Yang Dimiliki
Merupakan sebuah kebahagian luar biasa, apabila kita lebih sibuk mensyukuri apa yang kita miliki dan tidak mencaci apa yang kita tidak miliki. Hidup ini adalah rentetan syukur tidak berkesudahan , bukan caci maki kufur nikmat yang tidak akan habis dikenang.
Apa yang ada di tangan lebih bererti daripada apa yang ada di pandangan. Angan – angan yang membayangkan hanya akan menyisakan harapan tidak  berkesudahan, sedangkan rasa syukur terhadap apa yang dimiliki dapat menampung jiwa untuk mejadi hamba Allah yang bersyukur.
Selalu melihat pada kesukuran hati dan tidak mendongak ke atas terhadap apa yang tidak kita miliki. Ini adalah masalah sejauh mana kita bersyukur, dan sejauh mana usaha kita menghindari kekufuran. Selalu sahaja ada nikmat yang tiada pada diri kita, dan selalu sahaja ada kekurangan yang kita miliki.

Mustahil untuk memiliki segala nikmat di dunia ini. Berhenti berangan dan lebih yakin dengan apa yang ada di tangan  sangat disarankan bagi hati hamba yang lemah seperti kita.

Sumber:akuislam.com

Thursday, September 6, 2012

Masalah Itu Bukan Saja-Saja Allah Beri
Setiap orang pasti ada masalah. Orang yang bermasalah, pastinya dia akan memiliki masa-masa sukar dalam hidupnya. Masa-masa ini harus kita hadapi dan kita cari penyelesaiannya dengan bersemangat, gigih, optimis, istiqamah, dan sabar. Sikap-sikap seperti inilah yang seharusnya muncul dalam menyelesaikan setiap masalah demi masalah ketika masalah itu hadir dalam kehidupan.

Yakinlah bahawa Allah tidak akan memberikan ujian kepada kita melainkan sesuai dengan kemampuan kita hamba-Nya. Sebagaimana firman-Nya:

Allah tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya”. (QS. Al Baqarah: 286).

Di sinilah keimanan kita benar-benar diuji. Bersabar dan bersyukur merupakan suatu jawapan yang harus dimiliki untuk tabah menghadapi setiap masalah yang kita hadapi. Di sinilah kita akan mengetahui sejauh mana persediaan kita, kesanggupan diri kita, kesabaran kita serta rasa syukur kita terhadap masalah yang kita hadapi.

“Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Rabb hendaknya kamu berharap.” (QS. Al Insyirah: 7-8)

Setiap masalah dalam hidup ini haruslah dilalui dengan sikap matang dan penuh daya juang, sekalipun sukar dan kita tahu hidup ini tidaklah mudah, penuh onak berduri, yang kadangkala membuat kita terluka, perit dan sakit. Tetapi, Sesulit apapun situasi yang kita alami saat ini, daya juang kita tidak boleh padam. Kita dapat melihat dan belajar dari banyak orang di sekeliling kita yang tabah menjalani hidupnya, tidak mudah berputus asa dan pantang menyerah. Hidup ini tidak mudah, tapi kita tidak boleh Menyerah.

Yang perlu kita ketahui adalah, sesukar mana pun masalah dan keadaan yang kita alami, cuba lihat di nasib saudara kita disebelah sana, masih ada yang lebih susah jika dibandingkan dengan masalah yang sedang menimpa diri kita. Jika mereka saja boleh, mengapa kita tidak. Jadi tidak ada alasan tak boleh bagi kita sebelum kita mengusahakan yang terbaik.

Be positive. Jangan menjadikan setiap masalah yang hadir sebagai penghancur masa depan. Tetapi menjadikan masalah sebagai cabaran untuk mencungkil potensi yang tersembunyi dalam diri kita, iaitu potensi keimanan dan ketaqwaan.

Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati. Padahal kamulah orang yang paling tinggi derajatnya, jika kamu orang yang beriman.” (QS. Ali-Imran: 139).

Setiap perjalanan kehidupan seseorang sesungguhnya sarat dengan hikmah yang dapat dijadikan pelajaran hidup. Begitu juga dengan setiap masalah demi masalah yang kita alami. Kita pun harus belajar untuk tidak mudah menyerah dengan kekurangan. Berdoa sudah seharusnya dilakukan setiap muslim, walau apa pun situasinya, dimana pun dan bila-bila pun.

Tidak perlu menunggu saat susah. Sentiasa berbuat baik dan selalu mohon ampun kepada Allah, Insyaallah kita akan ditolong oleh-Nya. Ketika kegundahan, keserabutan dan masalah hidup itu hadir, ingatlah bahawa Allah itu tidak hanya sedang menguji kita.

http://akuislam.com/

Friday, July 27, 2012

MASALAH ITU MANIS...
"Jangan katakan pada Allah kalau kita ada masalah, katakan pada masalah kita ada Allah"

Ketika kita ditimpa sebuah masalah, beerti Allah mahu kita lebih dewasa dalam menghadapi hidup ini. Ketika kita ditimpa musibah, beerti Allah ingin kita agar kita mendekat kepadanya. Ketika kita ditimpa kesusahan, beerti Allah telah menyediakan untuk kita kemudahan.

Kerana sesungguhnya disebalik permasalahan ada proses pendewasaan, disebalik musibah ada hikmah, disebalik kesusahan ada kemudahan.

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (QS. Al-Insyirah:5-6)

Ketika permasalahan datang menghampiri, jangan mengeluh dihadapan sang pencipta, jangan memberontak akan keputusannya apalagi dengan mengatakan bahawa Allah tidak adil. Namun, mintalah agar kita diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapinya, diberikan penyelesaian yang terbaik bagi kita, dan selalu mengharap dia memberikan ganjaran pahala untuk kita.

Tanpa malam, bulan purnama takkan indah. Tanpa lapar, nikmat makanan takkan terasa. Tanpa dahaga sejuknya air takkan memberi banyak makna. Begitu juga kemenangan atau kemudahan takkan banyak memberi erti tanpa didahului rintangan masalah kesusahan. Setelah mendung terbitlah cerah.

Tak ada hidup tanpa masalah, kerana masalah adalah sunnah-Nya. Yang kita perlukan hanya dada yang lapang dalam menghadapinya. Jika ketabahan yang kita bina, nikmat masalah akan terasa. Jika keluhan yang sentiasa kita bina sengsara masalah akan selalu bertambah.

Masalah datang untuk kita hadapi, bukan untuk dicaci atau dimaki. Masalah adalah medium dalam proses pendewasaan. Tanpa masalah kita takkan pernah dewasa. Tanpa masalah kita takkan menjadi orang yang luar biasa. ”Jalan yang lurus dan rata takkan pernah menghasilkan pemandu yang hebat. Laut yang tenang takkan pernah menghasilkan pelaut yang cekap. Langit yang cerah takkan pernah menghasilkan juruterbang yang handal.”

Di saat kita mencari solusi dalam suatu masalah, di saat itulah sebuah proses pendewasaan hidup akan bermula. Maka senyumlah mereka yang memiliki masalah dan mengatasi masalah tersebut dengan bijak, iaitu dengan tetap selalu bergantung kepada keputusan Allah yang maha adil setelah tawakal dilakukan.

Sumber : akuislam.com

Sunday, July 15, 2012

6 Petua Untuk Sentiasa Kacak dan Cantik.
Pandanglah wajah-wajah bersih dan putih kanak-kanak dan bayi.
Merekalah insan yang miliki wajah yang menarik, tenang dan jernih.

Jika ditanya kepada orang lelaki, mahukan dia kelihatan kacak, hensem dan segak? Jawapannya, sudah tentu!.

Jika ditanya kepada orang perempuan, mahukan dia kelihatan cantik, anggun dan menawan? Jawapannya, tentulah. ( Malu-malu gitu)

Semua orang,- anda, mereka dan saya – punyai hasrat untuk memiliki muka, penampilan dan raut wajah yang menarik, mempesonakan dan sentiasa menawan. Baik dia lelaki mahupun perempuan. Sama ada muda atau berusia.

Mungkin, orang beranggapan – untuk kacak dan cantik kita perlu memiliki wajah yang tampan dan ayu seperti selebriti-selebriti barat yang mancung hidungnya, putih melepak kulitnya dan bibir yang mengiurkan. Dan, mungkin juga terfikir perlu melakukan pembedahan kulit, pencerahan wajah dan pengubahsuaian anggota badan fizikal untuk kelihatan menarik di mata orang lain. Perlukah begitu?

Justeru, kali ini saya ingin kongsikan beberapa petua untuk mengekalkan awet muda yang mungkin jarang-jarang orang perasan dan tentu boleh jadikan ia sebagai amalan harian kita. Petua ini mungkin pernah dan biasa kita dengar, tetapi mungkin terlepas pandang atau gagal kita jelmakan dalam kehidupan seharian.

1. Berusaha untuk sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk. Tanpa sedar kesan air wudhuk akan memberikan impak yang baik pada air muka kita. Kelihatan berseri-seri, bercahaya dan putih bersih.

2. Wajah kita selalu mengukirkan senyuman yang manis dan indah-indah. Memandang seseorang dengan sebuah senyuman pastinya membuatkan orang lain senang dan tenang. Impaknya, kita juga akan menerima senyuman yang mencantikan wajah kita.

3. Bertekad untuk menjauhi dosa-dosa dan maksiat-maksiat. Ini kerana, dosa-dosa boleh menggelapkan dan menghitamkan wajah kita. Bak kata orang, hilang nur di wajah.

4. Menghiasi peribadi dengan sifat mahmudah sepanjang masa, terutama sifat suka bantu-membantu, ringan tulang dan memudahkan urusan orang lain.

5. Saling maaf-bermaafan antara manusia terutama individu yang sentiasa bergaul dengan kita. Terutamanya, Ibu bapa, adik-beadik, teman sekerja dan sahabat handai. Paling praktikal ialah kita maafkan semua orang sebelum kita tidur setiap malam tanpa dipinta.

6. Sentiasa amalkan doa apabila menatap wajah kita dicermin. “ Ya Allah sebagaimana engkau cantikan wajahku, maka perelokanlah akhlakku.”

Bagaimana? Mudah bukan. Tidak perlu belanjakan beribu-ribu ringgit untuk mencantikan wajah kita. Baik lelaki atau perempuan. Sesiapa sahaja boleh lakukannya setiap masa, setiap hari dan setiap waktu yang ada.

Saya sarankan, anda mulakan dengan petua yang pertama iaitu sentiasa berwudhuk. Di mana sahaja kita berada. Jika terbatal di mana pun kita berada, kita usahakan untuk menyempurnakan wudhuk semula agar kita kekal dalam keadaan suci, bersih dan tenang dengan air-air wudhuk.

Cuba lakukan selama 40 hari tanpa putus, dan saya benar-benar yakin kalian akan merasai suatu “kelainan” dalam kehidupan. Boleh?

Kita sama-sama usaha. Bila nak mula? Kita start hari ini juga. Jom praktikal petua ini. Harapnya selepas ini semuanya – hensem-hensem dan ayu-ayu belaka. Sejuk mata memandang.

sumber : Di sini

Monday, July 2, 2012

Kadang-kadang, kita terlupa berdoa.
Berdoalah, kamu tidak akan rasa sunyi dan keletihan

Pernahkah kita mendengar kisah Nabi Allah Zakaria AS? Sudah hampir berumur 80-an dan tidak pula dikurniakan anak? Menggunung harapan dia bina, agar mendapat anak yang mampu meneruskan kerja dakwahnya, tetapi tetap juga nikmat itu tidak dikurnia.

Tetapi akhirnya satu peristiwa menyedarkan Nabi Allah Zakaria itu.

Dan hasil kesedarannya, Allah memberikan dia anak yang indah bernama Yahya.

Berdoa.

Kadang-kadang, kita terlupa untuk berdoa.
Apa kaitannya Nabi Zakaria, dengan doa?
Sama-sama kita perhatikan.

Satu hari di mihrab Maryam
Maryam adalah anak saudara kepada Nabi Zakaria. Ibu kepada Maryam bernazar sekiranya dia mempunyai anak, maka dia akan meletakkan anaknya di Mihrab agar menjadi hamba abdi kepada Allah SWT semata-mata. Maka apabila Maryam lahir, dan Maryam adalah perempuan, maka Nabi Zakaria sebagai bapa saudara memegang amanah menjaga Maryam di mihrabnya.
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.” Surah Ali-Imraan ayat 37.

Maryam amat istimewa. Dan antara yang mengkagumkan adalah, walaupun dia tidak pernah keluar dari mihrabnya, akan terdapat buah-buahan tersedia buatnya yang datang entah dari mana. Lebih menakjubkan, buah-buahan musim panas muncul ketika dia menghadapi musim sejuk, dan buah-buahan musim sejuk muncul ketika dia menghadapi musim panas.

Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya.” Surah Ali-Imraan ayat 37.

Satu hari di mihrab Maryam, Nabi Zakaria yang menyedari akan keajaiban itu bertanya:
Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?”Surah Ali-Imraan ayat 37.

Dan Maryam pun menjawab:

Maryam menjawab: Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” Surah Ali-Imran ayat 37.

Ketika inilah, mengikut apa yang saya belajar daripada guru-guru saya dalam bidang Aqidah dan Al-Quran, yakni Dr Ala’ Hilat, Dr Muhammad Jamal, Dr Samirah Tohir, mereka menyatakan bahawa Nabi Zakaria seakan seperti ‘ditegur’ oleh Allah SWT. Tersedar bahawa selama ini dia hanya mengharap, tetapi tidak berdoa dengan bersungguh-sungguh.

Berdoa dengan keyakinan bahawa, Allah SWT itu, walau perkara yang mustahil, mampu direalisasikan. Jelas Allah menunjukkan dengan kemunculan buah musim sejuk pada musim panas, buah musim panas pada musim sejuk.

Di saat itu jugalah, kalau kita lihat, Allah terus menceritakan pada ayat 38, yakni sejurus selepas ayat 37, menandakan cepatnya perkara itu berlaku, Nabi Zakaria berdoa. Di dalam mihrab Maryam itu jugalah, pada saat kesedarannya itu jugalah, Nabi Zakaria berdoa.

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” Surah Ali-Imraan ayat 38.

Dan Allah pantas memberikan jawapan kepada doa yang dilancarkan sepenuh jiwa, bersama kesedaran itu.

Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh.” Surah Ali-Imraan ayat 39.

Kadang-kadang, kita terlupa berdoa.

Bukanlah maksud saya, kita lupa berdoa dalam erti kata mengangkat tangan dan meminta kepada Allah.

Tetapi maksud saya, kita terlupa berdoa dengan bersungguh-sungguh, memahami makna doa kita, tahu apa yang kita minta, dan yakin bahawa Allah mampu dan akan memakbulkannya.
Ya, kadang-kadang, kita terlupa berdoa.

Masa susah dan senang.

Kita kadangkala, kala susah, kita mudah mengadu kepada manusia. Kita mudah menceritakan semua masalah kita kepada mereka. Itu memang satu perkara yang positif, berbanding dipendam seorang diri begitu sahaja. Tetapi persoalannya, apakah kita telah mengadu kepada Allah dengan bersungguh-sungguh?

Pernahkah saat kita kesakitan, kita benar-benar berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sakit. Sembuhkanlah.

Pernahkah saat kita sukar hendak mengajak seseorang kepada kebaikan, kita bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sayang dia, aku nak ajak dia pada kebaikan, tetapi dia asyik lari daripada aku ya Allah. Lembutkanlah hatinya, dan ampunkanlah dosa aku sekiranya dosa aku yang membuatkannya menjauh.”

Pernahkah saat kita kesempitan, kita benar-benar berdoa kepada Allah: “Ya Allah, aku sempit. Lapangkanlah.”

Dengan penuh keyakinan bahawa Allah memang akan menyembuhkan kita, akan melembutkan hati dia, akan melapangkan kehidupan kita?

Tatkala senang pula, apakah pernah kita berdoa kepada Allah agar dikekalkan kesenangan kita?
Pernahkah kita berdoa kepada Allah agar diluaskan lagi rezekiNya kepada kita? Apakah kita berdoa kepada Allah agar kita tidak tertipu dengan nikmat pemberianNya?

Kadang-kadang kita terlupa berdoa.

Sebab itu kita rasa seperti ‘terputus’.

Doa, ibarat tali layang-layang

Keimanan adalah penghubung kita kepada Allah SWT. Manifestasi daripada keimanan adalah amal. Maka amalan adalah penghubung kita kepada Allah SWT. Kita buat, kita rasa keterikatan kita dengan Allah SWT. Kita solat, membaca Al-Quran, berzikir, tadabbur alam, melakukan kebaikan-kebaikan, semua itu mengikat jiwa kita dengan Allah SWT.

Dan doa, adalah kemuncak hubungan kita dengan Allah SWT sebenarnya.

Ya, kita hanya meminta dengan yang kita rapat.

Kita hanya mengadu dengan yang kita percaya.

Maka kalau kita rapat dengan Allah, memang Allahlah yang akan kita minta kepadaNya.
Maka kalau kita percaya dengan Allah, memang Allahlah yang kita mengadu kepadaNya.
Doa, mengikat kita lebih rapat dengan Allah SWT. Doa, adalah tanda kita amat yakin dan percaya, tanpa ragu-ragu, bahawa Allah amat rapat dengan kita.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Penutup: Maka Berdoalah.

Maka berdoalah. Susunlah doa kita. Fahami apa yang kita doakan. Yakini bahawa Allah akan memakbulkannya. Dan jangan sesekali lupa untuk berusaha dengan sesungguh-sungguhnya. Orang yang selalu berdoa akan tenang. Kerana dia akan melihat, satu persatu doanya dijawab oleh Allah SWT. Orang yang tidak berdoa, mendapat kejayaan pun, dia tidak akan rasa apa-apa ‘nilai tambah’. Dia rasa, dia dapat itu dengan usahanya sendiri. Sebab itu, apabila dia benar-benar ‘mati usaha’, dia akan putus asa dan tidak bangkit semula. Kita, bila ‘mati usaha’, kita tetap merasakan bahawa – Allah itu ada, dan Dia akan membantu kita. Kerana kita sering berdoa kepadaNya.

Sumber: Di Sini

Saturday, January 28, 2012

Kelebihan orang yang banyak berdoa
DARIPADA Anas bin Malik, katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, syurga berkata: Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga. Dan sesiapa yang meminta perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali, neraka berkata: Ya Allah, selamatkanlah dia daripada neraka.”

Hadis ini sungguh besar kedudukan dan tahapnya, ia menunjukkan limpah kurnia Allah yang besar dan rahmat-Nya yang begitu luas.

Orang yang memohon syurga dan meminta perlindungan daripada neraka ditetapkan syarat iaitu Islam serta benar dalam menghadapkan diri kepada Allah (at-tawajjuh).

Demikianlah, bahawa kejayaan dengan syurga dan keselamatan daripada neraka adalah tujuan yang hendak dicapai orang yang mengerjakan solat, berzakat, berpuasa, menunaikan haji, berzikir mengingati Allah dan berjihad.

Untuk mencapai ke tahap itu mereka terpaksa memejam pandangan, memelihara kemaluan dan perutnya, menjaga lidah serta menahan tangannya daripada melakukan perkara terlarang. Perkara ini berterusan menjadi adat kebiasaan sehingga Allah mengampuni mereka.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang sentiasa berkeliaran di jalan mencari ahli zikir, apabila mereka mendapati satu kaum yang berzikir mengingati Allah mereka memanggil temannya lalu mereka pun datang mengelilingi orang yang berzikir dengan membentangkan sayapnya ke langit dunia. Lalu mereka ditanya oleh Tuhannya, sedangkan Tuhan lebih mengetahui dari mereka: Apa yang diucapkan hamba-Ku? Mereka menjawab: Hamba-Mu menyucikan, membesarkan, memuji dan mengagungkan-Mu.

Allah bertanya: Adakah mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Tidak, Demi Allah wahai Tuhan, mereka tidak melihat Mu. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Jika mereka melihat Mu nescaya mereka lebih banyak beribadah kepada Mu, mengagungkan Mu, dan bertasbih memuji Mu.

Allah bertanya: Apakah yang mereka minta kepada-Ku? Malaikat menjawab: Mereka meminta syurga kepada Mu. Allah bertanya: Adakah mereka telah melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Tidak, Demi Allah wahai Tuhanku, mereka tidak pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Sekiranya mereka melihatnya nescaya mereka lebih tamak lagi terhadapnya, lebih kuat memintanya, dan keinginannya lebih besar padanya.

Allah bertanya: Dari apakah mereka berlindung? Malaikat menjawab: Mereka berlindung dari neraka. Allah bertanya: Adakah mereka telah melihat neraka itu? Malaikat menjawab: Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihatnya? Malaikat menjawab: Sekiranya mereka melihatnya nescaya mereka pasti lebih menjauhkan diri daripadanya, dan pasti lebih takut dengannya.

Allah bertanya: Aku menyaksikan kepada Kamu bahawa Aku telah mengampuni mereka. Ada malaikat berkata: Di kalangan mereka ada si fulan yang bukan dari golongan mereka, namun kedatangannya untuk sesuatu hajat keperluan. Allah berfirman: Mereka adalah kaum yang tidak celaka sesiapa yang duduk dalam majlisnya.”

Mengapa kita tidak memohon syurga kepada Allah, sedangkan Ibnu Abbas meriwayatkan daripada Nabi SAW sabdanya: “Allah menciptakan syurga dan menjuntaikan padanya buah-buahannya, dan mengalirkan padanya sungai-sungainya, kemudian memandang kepadanya lalu berfirman: Bercakaplah, lalu diapun berkata: Sungguh berjaya orang yang beriman. Lalu Allah berfirman: Demi keagungan Ku, engkau tidak akan dimasuki orang yang bakhil kedekut.”

Mengapa kita tidak meminta kepada Allah supaya dimasukkan ke dalam syurga, sedangkan Rasulullah SAW pernah ditanya mengenainya, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang masuk syurga akan hidup di dalamnya tidak akan mati, dikurniakan nikmat padanya tidak pernah terputus, tidak lusuh pakaiannya dan tidak hilang keremajaannya

Sumber: http://epondok.wordpress.com/

Friday, October 7, 2011

Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!



Jika Allah uruskan urusan kita
dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita walaupun sekelip mata..

Dunia dan manusia boleh berbuat apa apa
tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran kerajaan Allah..

Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas
Kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah SWT

Apa yang orang rasa rugi
Allah akan memberikan keuntungan yang mana.. jalan jalan manusia tidak sangka…
Tetapi Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupan..

Lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat-Nya.” (Hamka)

Dan kita pun lupa kadang-kadang untuk bersyukur
di atas pelbagai ranjau hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya

Masihkan kita teringat akan nikmat yg Allah berikan selama ini?
Kita selalu nak bersyukur kalau kita diberi benda baru
dan kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini…
suatu nikmat yang besar

Yang ada ini sudah harapan kita.” (Hamka)

Bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada
tetapi jangan lupa yang telah ada…

Bersyukurlah wahai diri ini
Ramai orang terpaksa sabar
tapi belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur…

“Ya Allah apa sahaja yang aku alami
daripada nikmat-Mu, daripada kurniaan, daripada sesiapa di kalangan hamba-Mu…
Tidak ada sesiapa melainkan daripada Engkau wahai Tuhan
bagi Engkaulah pujian, bagi Engkaulah kesyukuran…”

sumber: http://nurjeehan.hadithuna.com

Thursday, September 15, 2011

Ibadat solat didik budaya hidup berdisiplin, hargai masa
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu ialah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Semua amal ibadat manusia disukai dan diterima oleh Allah. Ibadat adalah jambatan menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Hasil pelaksanaan ibadat dapat meningkatkan darjat ketakwaan ke hadrat Allah di samping menggilap kualiti jiwa kemanusiaannya.

Semakin baik dan ikhlas ibadat seseorang Muslim, maka semakin dekat hatinya kepada Allah dan semakin baik hubungannya sesama manusia.

Petikan al-Quran: Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. – Surah al-Ankabut, Ayat 45

Sunday, May 22, 2011

Petua Mencuci Hati
Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

Tuesday, March 29, 2011

KELEBIHAN BERILMU
Oleh MUHAMAD KHAIRUL AZHAR GHAZALI

MANUSIA yang mendapat sanjungan Allah SWT adalah golongan yang menyampai dan mendidik masyarakat. Mereka meneruskan segala kerja-kerja yang ditinggalkan Rasulullah SAW dalam menyempurnakan syariat ummah.

Inilah golongan yang disebut sebagai ulama atau orang yang berilmu dan menjadikan hidup sebagai hamba agama dalam mentarbiah masyarakat agar mengenal pencipta.

Dalam al-Quran Allah menobatkan mereka melalui ayatnya yang bermaksud: …Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang-orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan (al-Mujadalah: 11).

Betapa Allah memuliakan golongan yang berilmu atau disebut sebagai ulama. Ini kerana peranan mereka dalam sesebuah masyarakat terlalu besar.

Mereka penerus dakwah Nabi Muhammad SAW dalam melengkapkan agama umat manusia. Mendidik dan mentarbiah jiwa-jiwa agar patuh dan taat kepada segala apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi larangannya agar kita benar-benar faham mengapa kita diciptakan dan diletakkan di dunia sebagai hamba.

Tuesday, March 8, 2011

Solat didik umat jaga masa

SOLAT adalah institusi yang agung dalam memberi pendidikan kepada umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan. Antaranya solat melatih serta mendidik seseorang itu supaya menjadi tidak malas dan tidak membuang masa.

Apakah fungsi solat kepada kehidupan manusia? Allah berfirman yang bermaksud: Tidaklah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing mengetahui (cara) solat dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (Surah an-Nuur ayat 41).

Bermakna solat bukan hanya dilakukan oleh manusia semata-mata, malah semua apa yang ada di langit dan di bumi tahu cara solat masing-masing.

Menjelang siang, muazzin mengingatkan kita masa tidur sudah berlalu. Siang bukannya waktu untuk tidur lagi sebaliknya waktu untuk membina dunia.

Laungan marilah solat, marilah menuju kejayaan. Solat lebih baik daripada tidur.’ Hebatnya solat yang memberi motivasi pagi. Apabila matahari menegak di atas kepala ketika asyik dengan tugas diingatkan lagi, `marilah solat’ Zuhur.

Sunday, July 26, 2009

HARGA DIRI
Sebelum memulakan kelas, Cikgu Ismail mengeluarkan sehelai wang kertas bernilai RM50 dari dompetnya. Kemudian wang itu ditayangkan kepada 25 orang pelajarnya. "Siapa nak duit ni?" tanya Cikgu Ismail.. Semua pelajar mengangkat tangan. "Saya akan berikan duit ini kepada salah seorang daripada kamu, tapi izinkan saya membuat sesuatu dahulu ".Cikgu Ismail meramas-ramas duit itu hingga renyuk. Kemudian dia menunjukkan duit yang sudah renyuk itu dan bertanya: "Ada sesiapa yang nak duit ini lagi?" Hampir semua pelajarnya mengangkat tangan. Cikgu Ismail mengangguk dan mencebikkan bibir.
"Okey apa kata kalau saya buat macam ni?" Duit RM50itu dicampakkan dan di tenyeh-tenyeh dengan kasutnya.. Cikgu Ismail memungutnya semula lalu diletakkan di atas meja. Wang kertas itu bukan sahaja renyuk tetapi juga kotor. "Sekarang siapa nak duit ni?" tanya Cikgu Ismail. Selesai dia bertanya, lebih separuh daripada pelajarnya masih mengangkat tangan. "Okay, apa yang boleh kita kutip daripada peristiwa itu tadi?" tanya Cikgu Ismail lagi.Pelajarnya hanya diam, dan sesetengahnya hanya menggelengkan kepala. Mereka masih tidak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Cikgu Ismail.
"Walau apapun yang saya lakukan pada duit ini, kamu tetap akan mahukannya. Betul tak? Kamu tahu kenapa? Kerana nilainya tidak berubah walaupun dipijak dan ditenyeh dengan kasut." "RM50 tetap RM50 walaupun 10 kali dipijak." kata Cikgu Ismail. Semua pelajar yang mendengar kata-katanya hanya tersenyum.Cikgu Ismail mengaitkan peristiwa itu dengan kehidupan seharian. Sering kali di dalam hidup,setiap orang akan merasai kejatuhan, hati hancur, ataupun dihina. Hinggakan suatu ketika kita akan merasa diri kita tidak berguna langsung. "Tetapi walau apapun yang telah terjadi, ataupun yang akan terjadi, anda tidak akan hilang harga diri. Bersih atau kotor, renyuk atau licin, anda tetap berharga terutama pada mereka yang disayangi."
"Harga diri kita bukan datang daripada apa yang kita lakukan atau siapa yang kita kenal tapi siapa sebenarya kita?"jelas Cikgu Ismail. Semua pelajar ternganga mendengar penerangan guru itu dan mereka lantas mengiyakan kebenaran kata-kata guru itu...

Monday, July 14, 2008

SEGALANYA DENGAN MEMBACA
Membuat blog mendorong saya membaca. Sekurang-kurangnya membaca untuk mendapatkan maklumat tentang blog. Sebelum ini pengetahuan saya tentang blog adalah kosong. Terdorong untuk membuat blog apabila terlihat sebuah web blog guru sebuah sekolah menengah

Perasaan ingin tahu tersebut mendorong saya membaca dan seterusnya mencuba dan mencuba dan akhirnya terciptalah web blog sekolah (http://mmmerbok.blogspot.com/).Untuk penngisian blog terutama membuat ‘posting’ memerlukan kemahiran mengarang dan bukan sekadar ‘cut and paste” maklumat orang sahaja. Sekalai lagi ianya mendorong saya untuk membaca bagi mendapat sumber maklumat. Segala-galanya dengan membaca, membaca, membaca dan membaca…

Terjumpa suatu artikel tentang membaca untuk dikongsi bersama. Di tulis oleh Prof. Emeritus Dr. Sir Norhisham Wahab, pengasas dan pemilik Colour Vibration Therapy; katanya beliau lebih suka memenuhkan masanya dengan membaca dan membuat penyelidikan. Bagi beliau hidup tidak bermakna dan badannya menjadi tidak sihat kalau tidak dapat membaca didalam satu hari. Beliau akan mengambil masa yang sesuai untuk membaca walaupun sibuk. Kata Dr. Norhisham, membaca adalah terapi otak yang paling sihat berbanding senaman, yoga ataupun bermeditasi. Bagi beliau hanya melalui membaca dan kuasa berfikir yang boleh mengekalkan tahap kesihatan.

Membaca dan berfikir secara konsisten boleh menajamkan imaginasi dan dapat membakar kalori dari makanan sepenuhnya. Ia juga terapi otak yang yang paling baikkerana otak sentiasa diransang untuk menghasilkan cas-cas elektrik daripada electron yang akan menyingkirkan kolestrol jahat di dalam otak.

Tambahnya lagi penyingkiran kolestrol jahat yang disebabkan oleh membaca boleh membersihkan darah daripada asid urik yang membawa kepada berbagai masalah kesihatan.

Menurutnya, masalah masalah gastric dan migraine adalah berpunca daripada zat-zat makanan yang berlebihan tidak ditukar menjadi tenaga untuk berfikir. Jadi kalau nak elakkan terkena gastric dan migraine, banyak-banyaklah membaca dan berfikir.

Yang lain saya serahkan kepada anda untuk berfikir. Fikirkanlah.