Thursday, December 26, 2019

Hikmah takdir Ilahi

Fadly Samsudin
KITA perlu sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT dalam setiap keadaan yang berlaku walaupun perkara itu tidak baik pada pandangan mata kita.
Mungkin ada yang diuji dengan ujian berat seperti kehilangan orang tersayang, harta benda, hilang pekerjaan, menghidap penyakit kronik dan sebagainya.
Dalam Islam, jika berlaku sesuatu kita dilarang mengatakan ‘kalau seandainya’ begitu dan begini kerana ia membuka pintu syaitan.
Namun, kita perlu ucapkan Qadarallah masyaa fa’ala yang bermaksud semua itu Allah SWT sudah takdirkan dan buat apa yang Dia inginkan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah dan pada kedua-duanya terdapat kebaikan. Carilah apa saja yang bermanfaat untuk dirimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu patah semangat. Apabila musibah yang menimpamu janganlah kamu katakan, ‘seandainya aku melakukan ini dan itu’ tetapi ucapkanlah, Qadarallah masyaa fa’ala (demikianlah takdir Allah, apa yang Dia kehendaki pasti akan Dia lakukan). Sebab kata seandainya dapat membuka pintu masuk syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang sudah Allah SWT takdirkan pasti akan terjadi dan kita juga tiada upaya untuk menolaknya.
Tiada gunanya juga menyesali sesuatu yang sudah berlalu kerana ia pasti tidak akan kembali lagi selain perkara itu juga termasuk gangguan syaitan yang dapat merosakkan hati manusia sehingga membuat kita merasa sedih dan berputus asa daripada rahmat Allah SWT.
Oleh itu, letakkan perasaan reda dengan takdir yang ditetapkan dan berusaha bangkit supaya lebih mentaati Allah SWT.
Setiap yang berlaku kita perlu yakin dan percaya di sebaliknya ada hikmah yang cukup besar.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Allah SWT berfirman:
“Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka baginya sangkaan buruknya kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Setiap ketentuan yang ditakdirkan Allah SWT itu di luar kemampuan kita untuk menolaknya dan ia juga tidak boleh diubah kerana sudah tertulis sejak di Luh Mahfuz lagi.
Malah, ketika ujian terhadap diri kita semakin memuncak, ingatlah doa kita sangat mustajab di sisi Allah SWT.
Barangkali ada antara kita ditimpa ujian rumah mengalami kebakaran atau musnah ditenggelami banjir, maka kita boleh berdoa mengharapkan Allah SWT menggantikan musibah itu dengan perkara yang lebih baik selepas ini.
Bersangka baik kepada Allah SWT mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan yakin dan tawakal.
Dalam kitab Riyadus Solihin, Imam Nawawi turut membuat satu bab berkaitan dengan yakin dan tawakal. Kedua-dua elemen itu tidak dapat dipisahkan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “...bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Surah al-Anfaal, ayat 61)
Jika kita yakin serta bertawakal dengan sepenuhnya kepada Allah SWT, maka hasilnya akan lahir satu keputusan terbaik buat diri yang mungkin kita merasa sukar atau sudah tiada jalan keluar buatnya sebelum itu.
Antara perkara yang merosakkan kehidupan manusia adalah rasa putus asa, malas serta diri sentiasa gelisah.
Apabila sikap mudah berputus asa melanda diri pastinya ia akan menjejaskan dan memungkinkan tertutupnya peluang untuk berfikir dan bekerja.
>>Penulis wartawan Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:22 AM
Sumber: di sini

Monday, December 23, 2019

TUJUH WASIAT ULAMA' SUFI

Seorang Ulama' Sufi berkata:
Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu:
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan kata-kata hikmah darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan husnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan kelurusan
    Agamanya.
7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan akan keredhaan Allah padanya.

Monday, December 16, 2019

Istighfar kunci penyelesaian kepada kesempitan kita


SESEKALI diberi ujian, adakalanya membuatkan kita ‘lumpuh’ sehingga gagal memikirkan jalan keluar. 

Apatah lagi, ia ditambah dengan emosi yang tidak tenteram dan jiwa tidak tenang, maka semakin terhimpitlah kehidupan kita.
Sebenarnya, kita lupa bahawa ALLAH SWT sudah menyediakan jalan penyelesaiannya tanpa sesaat pun meninggalkan kita.

Jika kita dalam keadaan itu, apa patut dilakukan?
Mudah sahaja, beristighfar dengan menyebut ‘Astaghfirullah’.
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang melazimkan istighfar, nescaya ALLAH pasti akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan. Dan kelapangan daripada setiap kesedihan dan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Abu Dawud)
Dengan beristighfar, kita sebenarnya kembali kepada ALLAH SWT dan menginsafi kembali, apakah masalah itu datangnya akibat kelalaian diri sendiri atau kesilapan masa lalu kita?
Rasulullah SAW yang maksum itu pun sentiasa beristighfar sebanyak 70 kali sehari memohon keampunan-Nya!
Bagaimana kita yang banyak dosa ini agak sukar untuk beristighfar?
Apa kata selepas ini kita cuba istighfar setiap hari.
Mudah-mudahan dosa kita akan diangkat ke langit dan akan terbukalan jalan-jalan yang akan memudahkan urusan yang tertangguh.
Usah sombong untuk beristighfar kerana ALLAH SWT sedang menguji dan menilai siapakah yang menjadi tempat kita bergantung pada saat kita diuji.
Oleh:Muhd Nasruddin Dasuki
Sumber: https://epondok.wordpress.com/

Thursday, December 5, 2019

Banyak waktu, tempat berdoa tanda Allah Maha Pemurah

Oleh Nazmi Yaakub
SIFAT Allah Yang Maha Pemurah bermakna pemberian-Nya bukan sahaja tidak mempunyai had, bahkan Dia suka kepada hamba-Nya yang meminta dan memohon.
Malah Allah SWT Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengetahui tidak jemu serta bosan untuk mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-Nya.
Sifat itu tidak dapat ditandingi kerana manusia yang sangat kaya dan pemurah sekalipun pasti akan ada sifat jemu serta bosan terutama sekiranya permintaan dikemukakan pada ketika dan suasana yang tidak betul.
Salman al-Farisi meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT ialah zat yang mempunyai sifat yang sangat pemalu dan memberi dengan banyak walaupun tanpa diminta. Apabila seseorang mengangkat kedua-dua tangan untuk meminta sesuatu daripada Allah SWT, maka Dia malu untuk membiarkan tangan itu turun kosong dan tidak mendapat apa-apa. (HR Tirmizi)
Malah, tindakan meminta-minta atau memohon sekiranya dilakukan kepada manusia, ia lazimnya dianggap sebagai perbuatan yang rendah dan hina.
Bagaimanapun dalam konteks hamba yang meminta dengan Allah SWT, perbuatan itu dipandang baik dan digalakkan dalam setiap masa serta tempat.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Di sisi Allah SWT, tidak ada sesuatu yang lebih mulia daripada doa.” (HR Tirmizi)
Tidak hairanlah banyak waktu dan tempat yang elok untuk digunakan untuk berdosa seperti dijelaskan sama ada dalam hadis mahupun pengalaman golongan ulama dan aulia.
Antara waktu yang mustajab ialah antara azan dengan iqamah, antara dua khutbah pada Jumaat yang juga sepanjang hari itu dan sepertiga malam terakhir, selain Hari Arafah ketika musim haji, iaitu 9 Zulhijjah.
Dalam konteks tanah suci, tempat yang mustajab doa ialah di sekitar dinding Kaabah, Multazam dan Hajarul Aswad, belakang Makam Ibrahim serta Hijir Ismail.
Begitu juga di bukit Sofa dan Marwah serta sepanjang saie, Arafah, Muzdalifah, Mina dan sekitar Jumrah Ula, Wusta dan Aqabah.
Sementara itu tempat mustajab doa di Madinah pula, Raudhah dan Masjid Quba serta Makam Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah SAW juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 64)
Sumber: https://epondok.wordpress.com/

Wednesday, December 4, 2019

UJIAN NIKMAT, BALA, TAAT DAN MAKSIAT
Dalam perjalanan mempertahankan imannya, seseorang itu akan silih berganti berhadapan dengan salah satu daripada empat keadaan: nikmat, bala, taat dan maksiat.
Keempat-empat itu adalah alat untuk menguji iman.

Dalam menghadapi ujian nikmat pohonlah kepada Allah s.w.t agar kita dapat mengikat nikmat tersebut dengan syukur.
Apabila berhadapan dengan ujian bala, merayulah kepada Allah
s.w.t agar bala itu dihindarkan atau jika bala itu tidak mahu pergi juga, mintalah agar Dia menguatkan kita dengan kesabaran dan seterusnya mintalah agar Allah s.w.t mententeramkan hati kita dengan redha.

Apabila kita diberi kesempatan berbuat taat, ketahuilah ketaatan itu adalah kurniaan Allah s.w.t, kerana kasihan belas dan rahmat-Nya kepada kita, bukan ketaatan terjadi kerana kebolehan dan keupayaan kita.
Jangan melihat amal sebagai hasil usaha kita tetapi hendaklah ia dilihat sebagai pemberian Allah s.w.t yang wajib disyukuri dan seharusnya kita merendah diri kepada-Nya.
Apabila terjerumus melakukan maksiat pula, ketahuilah bahawa jika kita tidak peduli ke lembah kehancuran mana yang kita jatuh, maka Allah s.w.t juga tidak peduli di jurang mana kita binasa dan di neraka mana kita menanggung azab siksaNya.
Jika tidak mahu dibinasakan oleh Allah s.w.t dan disiksa dengan azab yang pedih, larilah kepada Allah s.w.t dengan meninggalkan lembah maksiat, bertaubatlah dengan sepenuh hati, sebenar-benar taubat.

Tuesday, November 26, 2019

Apabila kita diuji sakit


SIHAT tubuh badan sangat penting untuk kita melayari kehidupan seharian dengan baik.

Apabila kita sihat, bukan sahaja rutin harian dan tanggungjawab dapat dilunaskan dengan sebaiknya, tetapi ibadah juga dapat dilakukan dengan sempurna.
Andai kata nikmat sihat itu ditarik, jangan cepat melatah apabila kita diuji dengan kesakitan.
Sebaliknya belajarlah menerimanya dengan hati yang terbuka kerana ALLAH SWT sebenarnya mahu menguji sejauhmana kita menerima kesakitan itu sebagai ujian daripada-Nya.
Sabda Rasulullah SAW: Tiada seorang Mukmin yang ditimpa oleh kepenatan atau penyakit atau risau fikiran atau sedih hati walaupun terkena duri, melainkan semua penderitaan itu akan dijadikan penebus dosanya oleh ALLAH SWT.(Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW bersabda: “Jika sakit seorang hamba hingga tiga hari, maka keluar dari dosa-dosanya sebagaimana keadaannya ketika baru lahir dari kandungan ibunya. (Riwayat al-Tabarani)
Di sebalik kesakitan yang ALLAH SWT turunkan kepada kita itu sebenarnya terselit kemanisan.
ALLAH akan menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya yang sakit.
Percayalah setiap sesuatu yang menimpa diri kita, pasti ada penyelesaiannya.
Begitu juga penyakit, meskipun ALLAH menimpakan suatu penyakit tanpa sebab, namun yakinlah bahawa penawarnya pasti ada.
Semoga kita menjadi insan yang tidak lemah apabila diuji dengan kesakitan.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)