Wednesday, December 4, 2019

UJIAN NIKMAT, BALA, TAAT DAN MAKSIAT

Dalam perjalanan mempertahankan imannya, seseorang itu akan silih berganti berhadapan dengan salah satu daripada empat keadaan: nikmat, bala, taat dan maksiat.
Keempat-empat itu adalah alat untuk menguji iman.

Dalam menghadapi ujian nikmat pohonlah kepada Allah s.w.t agar kita dapat mengikat nikmat tersebut dengan syukur.
Apabila berhadapan dengan ujian bala, merayulah kepada Allah
s.w.t agar bala itu dihindarkan atau jika bala itu tidak mahu pergi juga, mintalah agar Dia menguatkan kita dengan kesabaran dan seterusnya mintalah agar Allah s.w.t mententeramkan hati kita dengan redha.

Apabila kita diberi kesempatan berbuat taat, ketahuilah ketaatan itu adalah kurniaan Allah s.w.t, kerana kasihan belas dan rahmat-Nya kepada kita, bukan ketaatan terjadi kerana kebolehan dan keupayaan kita.
Jangan melihat amal sebagai hasil usaha kita tetapi hendaklah ia dilihat sebagai pemberian Allah s.w.t yang wajib disyukuri dan seharusnya kita merendah diri kepada-Nya.
Apabila terjerumus melakukan maksiat pula, ketahuilah bahawa jika kita tidak peduli ke lembah kehancuran mana yang kita jatuh, maka Allah s.w.t juga tidak peduli di jurang mana kita binasa dan di neraka mana kita menanggung azab siksaNya.
Jika tidak mahu dibinasakan oleh Allah s.w.t dan disiksa dengan azab yang pedih, larilah kepada Allah s.w.t dengan meninggalkan lembah maksiat, bertaubatlah dengan sepenuh hati, sebenar-benar taubat.

0 Comments:

Your Comment here (Komen anda di sini)