Thursday, April 16, 2020

Keutamaan tadabbur al-Quran

SETIAP Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya.
Oleh Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman
AL-QURAN dipelihara dengan dua keadaan, iaitu terpelihara dalam mashaf (fis sutur) dan dalam dada penghafaz al-Quran (fis sudur).
Bagaimanapun kitab suci ini bukan sahaja digalakkan untuk menghafaznya, malahan setiap Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta mentadabbur, antaranya ialah sepotong ayat yang bermaksud: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad, ayat 29).
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian) tidak mahu memikirkan (mentadabbur) isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82).
Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dibaca malahan dituntut supaya difahami, dihayati dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan ini.
Umat Islam sentiasa digalakkan agar sentiasa menghayati dan mengkaji ayat al-Quran agar mereka beroleh mutiara ilmu serta hikmah daripadanya.
Manusia perlu melakukan tadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran secara mendalam agar petunjuk yang diberikan Allah SWT dalam kitab suci al-Quran al-Karim itu dapat memperteguhkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Di samping itu, penelitian dan tadabbur terhadap ayat suci al-Quran al-Karim akan menginsafkan betapa kerdilnya manusia dan betapa Agung-Nya Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Menurut Syeikh Habannakah, Tadabbur ialah proses pemikiran mendalam, penelitian dan penghayatan terhadap isyarat daripada ayat al-Quran setelah memahami maksud ayat menerusi tafsir.
Tadabbur dapat menyingkap rahsia, mukjizat dan tuntutan sebenar al-Quran. Perkataan tadabbur hanya digunakan terhadap ayat al-Quran, sebaliknya perkataan digunakan untuk proses yang sama terhadap perkara lain ialah tafakkur.
As-Suyuti (911H) menyatakan bahawa tadabbur melibatkan penelitian mendalam yang membabitkan unsur hati. Hati yang serta-merta tunduk mentaati Allah hasil tadabbur akan menambahkan iman dan penghayatan amalan.
Kajian dan tadabbur terhadap al-Quran sentiasa menghasilkan penemuan kepada keajaiban al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadikannya mukjizat terulung yang diturunkan Allah SWT.
Allah mencabar Musyrikin Quraish untuk mendatangkan kata-kata seumpama al-Quran dalam firman-Nya bermaksud: “(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti al-Quran itu, jika betul mereka orang yang benar dakwaannya.” (Surah At-Tur, ayat 34).
Cabaran ini diulang lagi dalam surah Hud ayat 13 dan surah al-Baqarah ayat 23. Allah mencabar mereka untuk mendatangkan 10 surah yang sama seperti al-Quran.
Apabila mereka gagal, cabaran itu dikurangkan kepada satu surah sahaja. Akhirnya kegagalan mereka ini dihuraikan dalam surah al-Isra’ ayat 88 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”
Al-Tabari menegaskan dalam tafsirannya kepada ayat 14 Surah Hud bahawa apabila manusia gagal untuk menjawab semua cabaran itu, hendaklah mereka sedar bahawa al-Quran itu diturunkan Allah Yang Maha Berkuasa. Nabi Muhammad SAW tidak mereka-reka al-Quran kerana tiada manusia yang mampu melakukannya.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan al-Quran), maka ketahuilah bahawa al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah dan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya? (Surah Hud, ayat 14).
Justeru setiap penelitian yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran termasuk dalam tadabbur. Di sinilah terbukti keunikan al-Quran. Ia mencabar bangsa Arab yang terkenal hebat dan mahir berbahasa dengan bahasanya sendiri.
Bahkan setiap huruf al-Quran, frasa dan ayat-ayatnya sentiasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tidak mungkin manusia dapat menukar ganti kedudukan, bentuk bahkan baris setiap perkataan al-Quran.
Penulis adalah Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:15 AM


Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/03/557832/keutamaan-tadabbur-al-quran

Tuesday, March 12, 2013

Kelebihan ayat Kursi
AYAT 255 surah al-Baqarah disebut ayat Kursi kerana dalam ayat tersebut terdapat kata "kursi Allah" yang meliputi langit dan bumi. Kata kursi membawa erti takhta, singgahsana, tempat duduk, kekuasaan, pengetahuan dan simbol autoriti.

Itulah sebabnya ayat itu di sebut "ayat Kursi" yang melambangkan kekuasaan Allah SWT yang meliputi langit dan bumi. Ayat ini sepanjang zaman telah menghidupkan suasana keagamaan umat Islam dari semasa ke semasa. Ayat Kursi begitu popular hingga kaligrafi ayat ini sering terdapat di rumah kaum Muslim.

Ayat Kursi dinilai sebagai salah satu ayat yang termulia dalam al-Quran kerana di dalamnya terdapat 17 kata yang menunjuk kepada Allah SWT daripada 50 kata yang terdapat di dalamnya. Apabila dihayati, 17 kata yang menunjukkan nama Allah itu akan memberi kekuatan batin pembacanya.

Terdapat ulama yang mengatakan bahawa 50 kata adalah lambang 50 kali solat yang pernah diwajibkan Allah kepada Muhammad ketika mikraj dan 50 kali itu diringankan menjadi lima kali dengan 17 rakaat sehari semalam. Di sisi lain, perjalanan menuju Allah ditempuh oleh malaikat dalam 50 tahun menurut perhitungan manusia.

Ayat Kursi lebih agung jika dibandingkan dengan ayat-ayat lain. Dalam ayat Kursi terdapat sejumlah nama dan sifat Allah SWT yang melebihi ayat-ayat lain. Intipati nama dan sifat Allah SWT yang berjumlah 99 itu diungkapkan dalam satu ayat hanya pada ayat Kursi.

Dalam satu kisah disebutkan bahawa ketika para sahabat sedang bertukar fikiran tentang ayat-ayat yang paling mulia, Ali berkata kepada mereka: "Bagaimana pandangan kamu tentang ayat Kursi?" Ali kemudian berkata: "Rasulullah SAW berkata kepadaku 'hai Ali, penghulu sekalian manusia adalah Adam, penghulu bangsa Arab adalah Muhammad tanpa rasa sombong, kalam yang terbaik adalah al-Quran, penghulu al-Quran adalah al-Baqarah dan penghulu al-Baqarah adalah ayat Kursi'."

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan keutamaan ayat Kursi, misalnya yang diriwayatkan Ali bin Abi Talib. Hadis itu berbunyi: "Tidak dibaca ayat ini (ayat Kursi) dalam sebuah rumah kecuali syaitan-syaitan lari meninggalkannya selama 30 hari dan tukang sihir laki-laki dan wanita tidak akan memasukinya selama 40 hari."

Ali juga menceritakan bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW berkhutbah di atas mimbar dan berkata: "… dan barang siapa yang membacanya pada saat tidurnya, Allah akan mengamankannya, tetangganya, tetangga dari tetangganya dan rumah-rumah yang ada sekitarnya."

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap penghujung solat wajib, maka tidak ada yang mencegahnya masuk syurga kecuali kematian dan tidak ditetapkan padanya kecuali sebagai siddiq (benar atau jujur) dan abid (tekun beribadah)."

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/

Sunday, July 15, 2012

Kelebihan Surah Al Kausar
Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.

Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.

Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1. Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

2. Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya’allah hilang dahaga.

3. Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah
dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4. Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5. Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6. Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7. Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

Tuesday, May 10, 2011

Listen / Share / Download 30 Juzuk Al-Quran by Mishary Rashid
Dengan bacaan Al-Quran oleh Qari Terkenal Syeikh Mishary Rashid Al-Afasy. Terimakasih kepada http://nurjeehan.hadithuna.com/ di atas sumbangan embed / widget code tersebut. Semoga Allah memberkati, meredhai segala usaha dan mengurniakan kita hati-hati yang sentiasa lembut, segar, hidup, khusyuk & tadharru’ dengan mukjizat al-Quran, bersama takwa, taufik & hidayah-Nya. Amin.

Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al Hujurat: 15)