ISLAM menggariskan adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang
beriman dalam mencari rezeki sama ada menjadi pekerja awam, swasta mahupun
bekerja sendiri.
Ini untuk memastikan setiap pekerjaan membuahkan hasil dalam
bentuk rezeki halal, malah lebih penting mendapat keredaan Allah SWT.
Malah keredaan Allah SWT inilah yang menjadikan rezeki yang
diperoleh bukan sahaja halal, bahkan berkat dalam erti kata kebaikan yang
melimpah-ruah.
Ia menjadi rahsia kepada orang beriman yang sebahagiannya
memiliki pendapatan kecil atau sederhana tetapi bahagia dalam kehidupannya sama
ada sebagai individu mahupun keluarga.
Berikut 10 adab yang boleh diamalkan untuk memastikan pekerjaan
kita membuahkan hasil yang halal dan berkat.
1. Membaca doa sebelum keluar rumah. Antara yang boleh diamalkan
ialah, ‘Dengan nama Allah, aku bertawakal dengan Allah dan tiada daya dan upaya
kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Agung.
2. Niat keluar bekerja dengan ikhlas kepada Allah SWT untuk
mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga serta menyumbang kepada
masyarakat. Abu Mas’ud RA berkata Nabi SAW bersabda: Apabila seorang lelaki
memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu
sama dengan (pahala) sedekah. (HR Bukhari)
3. Bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berusaha gigih kerana
mengikuti pesanan Nabawi seperti hadis yang diriwayatkan Saidatina Aishah RA
bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang
hamba yang apabila dia bekerja, dia menyempurnakan pekerjaannya. (HR Tabrani)
4. Menunaikan tugas dan tanggungjawab dalam pekerjaan dengan
jujur serta amanah, sekali gus tidak menyalahgunakan jawatan, kuasa dan harta.
Abdullah Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wajib ke atasmu jujur
kerana sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan
menunjukkan ke syurga serta seseorang selalu jujur dan memelihara kejujuran
hingga ditulis dan di sisi Allah sebagai orang jujur. (HR Tirmizi)
5. Tidak terbabit dengan pekerjaan haram atau syubhah, iaitu
yang tidak jelas halal-haram. Nu’man Basyir RA berkata: Saya mendengar
Rasulullah SAW bersabda: Perkara halal itu jelas, perkara haram juga jelas dan
antara keduanya adalah syuhbat; banyak orang tidak mengetahui apakah perkara
halal atau haram dan sesiapa meninggalkannya bebaslah ia untuk agama dan
kehormatannya serta selamat (daripada kecaman syaral). Dan barang siapa
terjatuh di dalamnya, dikhuatiri terjatuh dalam keharaman. (HR Tirmizi)
6. Tidak melakukan perbuatan dosa dan mungkar kerana ia boleh
menjadi sebab terhalangnya rezeki seperti hadis diriwayatkan Tsauban RA yang
berkata Rasulullah SAW bersabda: Tiada sesuatu yang boleh menambah umur kecuali
kebajikan dan tiada sesuatu boleh menolak takdir kecuali doa. Sesungguhnya
seseorang akan tercegah daripada rezeki oleh sebab dosa yang dia lakukan. (HR
Ibnu Majah)
7. Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh seperti yang
diriwayatkan Abdullah ibnu ‘Amru ibnu ‘Ash RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Sungguh amat beruntunglah orang Islam (berserah diri) dan berasa cukup dengan
apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya. (HR
Muslim)
8. Bersedekah kerana sebahagian apa yang diperolehnya juga
menjadi hak orang lain dan meyakini hartanya tidak akan berkurang dengan ibadat
itu. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Harta tidak akan
berkurangan dengan sebab sedekah. (HR Muslim)
9. Tidak menjadikan alasan sibuk mencari rezeki untuk tidak
beribadat kerana Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: Allah SWT
berfirman: “Wahai anak Adam, kerjakanlah ibadat semata-mata untuk-Ku, nescaya
Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku tutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak
mengerjakannya, maka Aku penuhi dadamu dengan kesibukan tetapi Aku tidak
menutup kemiskinanmu.” (HR Ibnu Majah)
10. Bertawakal kepada Allah SWT selepas melaksanakan tugasan
atau pekerjaan. Umar al-Khathab RA berkata Rasulullah SAW bersabda: Sungguh
kalau kamu sekalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang
sungguh-sungguh, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia
berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang. (HR
Tirmizi)
Sumber: epondok
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)