Monday, November 25, 2019

Ambil serius kuasa doa

Oleh Latifah Arifin
KUASA doa amat besar dan menakjubkan kerana ia lafaz puji-pujian untuk memohon sesuatu yang dihajati daripada seorang hamba kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghafir: 60)
Oleh itu, kita dianjurkan mendahului setiap perbuatan atau pekerjaan dengan doa yang turut disifatkan sebagai antara senjata mukmin sejati.
Orang beriman dan beramal soleh meyakini doa akan mengiringi setiap perjalanannya, bahkan dengan melazimi amalan itu, ia akan merapatkan seseorang dengan Allah SWT secara rohani.
Maka, amat rugi sekiranya begitu banyak doa amalan harian tidak dijadikan rutin dalam kehidupan seharian.
Seawal bangun daripada tidur, ketika memakai pakaian, keluar ke rumah, saat hendak menjamah makanan hinggalah detik berdepan dengan musibah terdapat doa khusus yang boleh diamalkan.
Islam begitu tersusun secara indah dengan pensyariatan yang begitu lengkap kepada manusia, manakala sumbernya diperakui daripada al-Quran, sunah dan tinggalan ilmu ulama yang terus subur hingga ke hari ini.
Dalam kitab Ad-Daa’ Wad Dawaa’, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyifatkan doa sebagai ubat yang sangat bermanfaat, sekali gus diibaratkan musuh bagi segala bencana dan musibah yang menimpa kaum Muslimin.
Saidina Ali Abu Talib RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Doa ialah senjata kaum Muslimin dan tiang agama serta cahaya langit dan bumi. (HR Hakim
Bagaimanapun, sebelum berdoa seharusnya kita mengambil cakna apakah kaedah dan adab yang dianjurkan Islam sebelum melaksanakannya.
Fadhalah ‘Ubaid RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW mendengar seseorang berdoa dalam solatnya dan tidak mengucapkan selawat kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda: “Orang ini tergesa-gesa.”
Lalu, Baginda memanggil dan bersabda kepadanya atau kepada orang lain: “Apabila salah seorang antara kamu bersolat, hendaklah dia memulakan (doanya) dengan memuji Allah SWT, kemudian berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan selepas itu, berdoa dengan apa yang dikehendaki.” (HR Tirmizi)
Selain itu, ketika berdoa, kita boleh memilih waktu yang diistilahkan sebagai waktu mustajab seperti pada hari Jumaat dan ketika waktu malam, iaitu dua pertiga daripadanya.
Waktu lain yang afdal untuk berdoa adalah di antara azan dan iqamat.
Anas RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak oleh Allah SWT. (HR Abu Daud)
Antara lain turut digalakkan mengambil wuduk dan membaca lafaz doa dengan memahami maknanya, menyebut dengan betul dan menghayati sepenuhnya dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.
Seperkara perlu kita ketahui, berdoa juga tergolong dalam ibadah. Orang sentiasa mengamalkan doa dalam hidup juga dijanjikan ganjaran dan keberkatan bukan sahaja di dunia, malah lebih penting di akhirat kelak.
Maka selepas diketahui kepentingan dan kemuliaan doa, setiap umat Islam perlu lebih berhati-hati dan serius dalam berdoa.
Perbuatan mensia-siakan amalan doa mahupun memperkecilkan kekuatannya perlu dihindari, kerana siapa tahu satu masa nanti ada di antara kita berada dalam keadaan sukar dan tanpa hala tuju.
Pada saat itu, hanya doa yang menjadi galang ganti dan ikhtiar terakhir untuk mencari jalan keluar menyelamatkan diri mahupun keluarga untuk tidak terus hanyut dalam kegelapan.

0 Comments:

Your Comment here (Komen anda di sini)