
Fadly Samsudin
KITA perlu sentiasa
bersangka baik terhadap Allah SWT dalam setiap keadaan yang berlaku walaupun
perkara itu tidak baik pada pandangan mata kita.
Mungkin ada yang diuji
dengan ujian berat seperti kehilangan orang tersayang, harta benda, hilang
pekerjaan, menghidap penyakit kronik dan sebagainya.
Dalam Islam, jika
berlaku sesuatu kita dilarang mengatakan ‘kalau seandainya’ begitu dan begini
kerana ia membuka pintu syaitan.
Namun, kita perlu
ucapkan Qadarallah masyaa fa’ala yang bermaksud semua itu
Allah SWT sudah takdirkan dan buat apa yang Dia inginkan.
Diriwayatkan daripada
Abu Hurairah RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang
lemah dan pada kedua-duanya terdapat kebaikan. Carilah apa saja yang bermanfaat
untuk dirimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu patah
semangat. Apabila musibah yang menimpamu janganlah kamu katakan, ‘seandainya
aku melakukan ini dan itu’ tetapi ucapkanlah, Qadarallah masyaa fa’ala (demikianlah
takdir Allah, apa yang Dia kehendaki pasti akan Dia lakukan). Sebab kata
seandainya dapat membuka pintu masuk syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang sudah Allah
SWT takdirkan pasti akan terjadi dan kita juga tiada upaya untuk menolaknya.
Tiada gunanya juga
menyesali sesuatu yang sudah berlalu kerana ia pasti tidak akan kembali lagi
selain perkara itu juga termasuk gangguan syaitan yang dapat merosakkan hati
manusia sehingga membuat kita merasa sedih dan berputus asa daripada rahmat
Allah SWT.
Oleh itu, letakkan
perasaan reda dengan takdir yang ditetapkan dan berusaha bangkit supaya lebih
mentaati Allah SWT.
Setiap yang berlaku
kita perlu yakin dan percaya di sebaliknya ada hikmah yang cukup besar.
Daripada Abu Hurairah
RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Allah SWT berfirman:
“Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku
kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka
baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka
baginya sangkaan buruknya kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Setiap ketentuan yang
ditakdirkan Allah SWT itu di luar kemampuan kita untuk menolaknya dan ia juga
tidak boleh diubah kerana sudah tertulis sejak di Luh Mahfuz lagi.
Malah, ketika ujian
terhadap diri kita semakin memuncak, ingatlah doa kita sangat mustajab di sisi
Allah SWT.
Barangkali ada antara
kita ditimpa ujian rumah mengalami kebakaran atau musnah ditenggelami banjir,
maka kita boleh berdoa mengharapkan Allah SWT menggantikan musibah itu dengan
perkara yang lebih baik selepas ini.
Bersangka baik kepada
Allah SWT mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan yakin dan tawakal.
Dalam kitab Riyadus
Solihin, Imam Nawawi turut membuat satu bab berkaitan dengan yakin dan
tawakal. Kedua-dua elemen itu tidak dapat dipisahkan.
Allah SWT berfirman
yang bermaksud: “...bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar,
lagi Maha mengetahui.” (Surah al-Anfaal, ayat 61)
Jika kita yakin serta
bertawakal dengan sepenuhnya kepada Allah SWT, maka hasilnya akan lahir satu
keputusan terbaik buat diri yang mungkin kita merasa sukar atau sudah tiada
jalan keluar buatnya sebelum itu.
Antara perkara yang
merosakkan kehidupan manusia adalah rasa putus asa, malas serta diri sentiasa
gelisah.
Apabila sikap mudah
berputus asa melanda diri pastinya ia akan menjejaskan dan memungkinkan
tertutupnya peluang untuk berfikir dan bekerja.
>>Penulis
wartawan Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:22
AM
Sumber: di
sini
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)