Oleh Nazmi Yaakub
SIFAT Allah Yang Maha Pemurah bermakna pemberian-Nya bukan
sahaja tidak mempunyai had, bahkan Dia suka kepada hamba-Nya yang meminta dan
memohon.

Sifat itu tidak dapat ditandingi kerana manusia yang sangat kaya
dan pemurah sekalipun pasti akan ada sifat jemu serta bosan terutama sekiranya
permintaan dikemukakan pada ketika dan suasana yang tidak betul.
Salman al-Farisi meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya
Allah SWT ialah zat yang mempunyai sifat yang sangat pemalu dan memberi dengan
banyak walaupun tanpa diminta. Apabila seseorang mengangkat kedua-dua tangan
untuk meminta sesuatu daripada Allah SWT, maka Dia malu untuk membiarkan tangan
itu turun kosong dan tidak mendapat apa-apa. (HR Tirmizi)
Malah, tindakan meminta-minta atau memohon sekiranya dilakukan
kepada manusia, ia lazimnya dianggap sebagai perbuatan yang rendah dan hina.
Bagaimanapun dalam konteks hamba yang meminta dengan Allah SWT,
perbuatan itu dipandang baik dan digalakkan dalam setiap masa serta tempat.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Di sisi Allah
SWT, tidak ada sesuatu yang lebih mulia daripada doa.” (HR Tirmizi)
Tidak hairanlah banyak waktu dan tempat yang elok untuk
digunakan untuk berdosa seperti dijelaskan sama ada dalam hadis mahupun
pengalaman golongan ulama dan aulia.
Antara waktu yang mustajab ialah antara azan dengan iqamah,
antara dua khutbah pada Jumaat yang juga sepanjang hari itu dan sepertiga malam
terakhir, selain Hari Arafah ketika musim haji, iaitu 9 Zulhijjah.
Dalam konteks tanah suci, tempat yang mustajab doa ialah di
sekitar dinding Kaabah, Multazam dan Hajarul Aswad, belakang Makam Ibrahim
serta Hijir Ismail.
Begitu juga di bukit Sofa dan Marwah serta sepanjang saie,
Arafah, Muzdalifah, Mina dan sekitar Jumrah Ula, Wusta dan Aqabah.
Sementara itu tempat mustajab doa di Madinah pula, Raudhah dan
Masjid Quba serta Makam Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka
sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah dan
Rasulullah SAW juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah
Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 64)
Sumber: https://epondok.wordpress.com/
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)