Friday, August 10, 2018

Martabat orang berilmu













Daripada Abu Darda, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Barang siapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah SWT akan permudahkan baginya jalan menuju syurga.
“Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana reda kepada si penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air turut mendoakan keampunan kepada si penuntut ilmu itu.
“Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibandingkan dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang.
“Ulama adalah pewaris nabi dan nabi pula tidak mewariskan dinar mahu- pun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu.
“Barang siapa mengambilnya, maka ia mengambil bahagian yang sangat besar.’” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Kejayaan di dunia perlukan ilmu, bahkan kejayaan di akhirat juga memerlukan ilmu.
Ilmu amat penting bagi memastikan kesempurnaan ibadat. Sebelum melakukan sesuatu ibadat, seorang Muslim itu perlu tahu secara terperinci ibadat yang ingin dilakukan.
Contohnya, untuk melaksanakan solat mereka perlu tahu mengenai waktu, rukun dan syarat sah.
Tanpa ilmu, pelaksanaan sesuatu ibadat akan menjadi cacat. Rukun solat seperti rukuk yang ditinggalkan menjadikan ibadat itu batal.
Begitu juga ketika solat, seseorang itu memakai pakaian yang terkena najis menyebabkan solatnya tidak sah.
Orang berilmu di pandang tinggi di sisi masyarakat. Masyarakat sedar seseorang yang berilmu akan memberi manfaat kepada orang lain.
Sesiapa saja yang berjaya dalam hidupnya di dunia ini, semua itu adalah hasil didikan yang diterima daripada guru mereka.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)
Sama juga apabila seseorang yang mempunyai harta. Mereka perlu menjaga harta itu sebaik mungkin. Tanpa ilmu pengurusan wang, dalam sekelip mata wang itu boleh habis begitu saja.
Sebagai contoh, manusia akan jadi gelap mata dan mudah tertipu terutamanya dengan pelaburan atau skim cepat kaya.
Untuk mengelakkan musibah itu menimpa diri, ilmu pelaburan dan ekonomi adalah benteng yang ampuh. Dengan ilmu, kita tidak mudah terpesona dengan janji palsu yang dihamburkan itu.
Daripada Abdullah bin Mas’ud, Nabi Muhamad SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah hasad kepada orang lain kecuali seperti dua orang berikut.
“Pertama orang yang diberi Allah kekayaan melimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar. Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah (kebijaksanaan) dan ia berperilaku sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Penulis Perunding Psikologi Bahasa (Hilmi Isa)
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018
Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2018/05/340794/martabat-orang-berilmu


0 Comments:

Your Comment here (Komen anda di sini)