MATA jendela hati. Kesan menjaga mata sangat besar dalam menjaga hati. Mata
yang tidak terjaga akan membuat hati keruh dan minda kotor. Mata yang terkawal
akan memudahkan seseorang dalam mengawal rasa hatinya.
Oleh itu, semua ulama daripada kalangan salafus soleh sangat mengambil berat
dalam menjaga mata. Salah seorangnya adalah Hassan bin Abi Sinan dari kota
Basrah di Iraq. Beliau seorang ulama, sekali gus peniaga terkenal. Meski selalu
berjumpa dengan ramai orang, beliau selalu menjaga matanya daripada yang haram.
Suatu hari, Hassan keluar untuk melaksanakan solat hari raya. Apabila tiba
di rumah kembali, isterinya yang cemburu berkata: “Berapa banyak wanita cantik
yang engkau lihat hari ini?”
Hassan menjawab: “Demi Allah, Aku tidak melihat apa-apa selain ibu jari
kakiku sejak keluar rumah hingga pulang kembali.”
Panah beracun
Menjaga pandangan suatu kewajipan. Setiap Mukmin laki-laki dan perempuan
wajib melakukannya. Tujuannya agar mereka terselamat daripada tali-tali syaitan
yang akan menjeratnya ke lembah maksiat.
Allah SWT berfirman: Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman:
Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang
demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui
apa yang mereka perbuat. (al-Nur: 30)
Pandangan yang tidak terkawal ibarat panah beracun yang menembus ke dalam
dada. Jika tidak segera diubati, racun itu akan merosak minda dan hati kita.
Dosa zina yang sangat dibenci selalu bermula daripada lirikan mata.
Daripada Huzaifah, Rasulullah SAW bersabda: “Pandangan adalah salah satu
anak panah beracun daripada iblis. Barang siapa yang meninggalkannya kerana
takut kepada Allah, maka Allah akan memberinya keimanan yang manisnya terasa di
dalam hati. (diriwayatkan oleh Al-Hakim)
Bukan hanya aurat
Menjaga mata bukan hanya daripada aurat yang terdedah. Malah, mata juga
mesti dijaga daripada harta yang berada di tangan orang lain. Sebab seringkali
penyakit hati bersarang di hati selepas melihat benda-benda milik orang lain.
Penyakit hati itu antaranya hasad dengki, iri hati bahkan dendam.
Para ulama berkata: “Siapa yang melepas matanya mengikuti apa yang berada di
tangan orang, maka tidak akan habis kesedihannya.”
Yahya bin Yaman bercerita: Suatu hari, aku berjalan bersama Sufyan
Al-Thauri. Apabila melalui sebuah rumah yang mewah, aku mengangkat kepalaku
untuk melihatnya. Sufyan melarangku dan berkata: “Janganlah engkau melihat ke
rumah ini. Sebab ia sengaja dibuat agar dilihat oleh orang-orang sepertimu.”
Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi Dunia dalam kitab warak.
Mata juga mesti dijaga daripada melihat orang lain yang tengah melakukan
maksiat. Dikhuatiri timbul keinginan untuk meniru atau mencuba maksiat
tersebut. Terlalu banyak kes ketagihan rokok dan dadah di kalangan anak muda
asalnya daripada keinginan untuk mencuba-cuba sahaja.
Itu sebabnya Islam mengingatkan untuk berhati-hati memilih kawan. Rasulullah
SAW bersabda: Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk seperti
penjual minyak wangi dan peniup api. Daripada penjual minyak wangi, engkau akan
mendapatkan minyak itu atau mendapatkan wanginya. Adapun daripada peniup api,
maka baju engkau akan terbakar atau mendapatkan bau busuknya. (riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Mata kita, pilihan kita
Mata adalah anugerah Allah yang tak ternilai harganya. Ia diberikan kepada
manusia agar digunakan untuk membantunya melakukan ketaatan.
Gunakan ia dalam kebaikan, nescaya ia akan tetap sihat terjaga hingga ke
akhir usia. Seandainya, kita menggunakan ia dalam keburukan, maka kesusahan dan
kegagalan hati yang akan ia hasilkan.
Sumber: epondok
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)