Barangkali antara sebab kemungkaran tidak dapat ditinggalkan daripada diri adalah kerana solat yang tidak berkualiti. Mungkin ramai di antara kita yang melakukan solat sehari semalam, tetapi ia hanya bagi memenuhi rutinan sebagai muslim.
Kita solat, tetapi hanya memenuhi keperluan gerakan fizikal, tetapi keperluan membangunkan iman dalam jiwa ketika solat tidak kita penuhi.
Kita solat, tetapi hanya memenuhi keperluan bacaan yang rukun dan sunat di lisan, tetapi mungkin kita terlupa meneliti sampainya kesan dari makna bacaan itu ke dalam jiwa-jiwa kita.
Berapa ramai orang yang solat, di hujung solatnya, baru tersedar sedang solat rupanya. Berapa ramai orang yang solat, di tengah-tengah solatnya, jauh dia mengembara ke tempat lain yang menjadi lebih indah untuk diingati ketika dalam solat.
Ada orang yang datang solat dengan hati masih mengingati itu ini. Ada orang yang datang solat dengan baru lepas merokok, mulutnya berbau, datang solat kemudiannya cuma berkumur.
Kita kehilangan kualiti pada solat kita. Iaitulah kualiti khusyuk.
Solat Yang Memberi Kesan
Kalau sekadar solat untuk penuhi rutin sebagai muslim, akal kita akan berfikir pendek sekadar itu saja tanpa memikirkan bagaimanakah sepatutnya solat yang menjadi perhatian besar di sisi Allah s.w.t. itu mampu mengesankan hidup kita.
Pasti, bila Allah s.w.t. fardhukan sesuatu kepada kita, ia bukan sia-sia melainkan ia datang dengan hikmah besar.
Maka di sinilah kita dapati Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perkara keji dan mungkar.” [Al-Ankabut:45]
“Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan ummatmu) pada dua bahagian siang dan waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebaikan (terutama solat itu) menghapuskan kejahatan.” [Hud: 114]
Inilah di antara hikmah solat yang sepatutnya kita lihat dalam diri kita, apakah ia telah terpenuhi. Ia sepatutnya jadi KPI yang perlu dicapai setelah kita keluar dari solat kita.
Kalau kita orang yang jenis mulut berbisa dan lisan suka mengata mengeji orang, maka keluar daripada solat, kita akan muhasabah diri kita semula, apakah kita berjaya membuang penyakit buruk itu daripada diri kita.
Kalau kita orang yang cuai dan tidak amanah dalam bekerja, kita keluar daripada solat, kita akan muhasabah apakah kita telah menjadi semakin lebih baik dan bertanggungjawab dalam melaksanakan pekerjaan kita.
Kalau kita orang yang merokok, kita keluar daripada solat, kita akan cuba untuk berhenti merokok kerana tahu ia termasuk perkara mungkar dan haram.
Namun, hal ini hanya boleh terpenuhi apabila kita memenuhi tuntutan firman Allah s.w.t. ini:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solat mereka.” [Al-Mukminun: 1-2]
Keseriusan Para Salaf Terhadap Solat Mereka
Urwah ibn Zubair pernah ditimpa suatu penyakit yang mana penyakit itu memerlukan sebelah kakinya dipotong supaya penyakit itu tak tersebar ke bahagian tubuhnya yang lain. Maka, dimintanya untuk minum suatu minuman yang dapat membuatkan dirinya tidak sedar supaya tidak merasai kesakitan apabila kakinya dipotong.
Lalu, beliau menolak dan meminta supaya kakinya dipotong ketika dia sedang solat. Ini kerana, ketika beliau telah masuk ke dalam solatnya, beliau seakan-akan berada di alam lain terus, dan kebersamaan hatinya bukan lagi dengan dunia ini, bahkan dengan Allah azza wajalla.
Lihatlah bagaimana para salaf menjadikan solat sebagai rawatan dan kekuatan buat diri mereka.
Al-Junaid rahimahullah, ketika keberadaannya di Baghdad, beliau telah ditolak untuk menjadi imam dalam satu solat di masjid. Beliau menolak untuk menjadi imam pada asalnya, tetapi penduduk di situ tetap mahukan beliau menjadi imam.
Lalu, beliau tidak dapat menolak lagi dan majulah ke ruang imam untuk menjadi imam.
Seketika mahu memulakan tugasnya sebagai imam, lalu beliau pun mengucapkan sebagaimana biasanya para imam mengingatkan makmumnya :
“Istawuu rahimakumullah.”
“Luruskanlah semoga kamu dirahmati oleh Allah s.w.t.”
Usai mengucapkan itu, beliau pengsan.
Lalu, orang lain terpaksa menggantikan posisinya sebagai imam.
Apa yang berlaku kepada Al-Junaid? Kenapa beliau pengsan?
Para makmum yang selepas siap menunaikan solat itu, lalu ada yang berkerumun di sekitar Al-Junaid dan menyedarkannya. Apabila beliau telah terjaga, mereka pun bertanya, “Apa yang membuatkan engkau pengsan?”
Mungkin juga datang telahan di minda kita bahawa dia pengsan kerana tidak cukup makan, atau sakit atau tidak cukup rehat.
Tetapi, rupanya, beliau bercerita, “Ketika aku usai mengingatkan kalian, ‘Istawuuu rahimakumullah !’
“Luruskanlah semoga kamu dirahmati oleh Allah s.w.t.”
Aku seakan-akan terdengar ada yang berkata kepadaku : “Luruskanlah dirimu dengan Tuhanmu dahulu sebelum engkau menyuruh orang lain !”
Lihatlah bagaimana para salaf merasai benar kaitan iman dan solat.
Penutup: Membina Kembali Kualiti Khusyuk Dalam Solat
Kita perlu kembali memerhatikan dan memuhasabah kualiti khusyuk kita dalam solat serta membinanya semula.
Penuhi Sunnah-sunnah untuk solat sebagaimana yang telah kit lakukan sebelum ini. Lakukan solat mengikut fiqh solat yang telah kita pelajari. Namun, jangan lupa datangilah solat dengan hati yang penuh penyerahan kepada Allah.
Datang kepada Allah jangan bawa perkara mungkar. Ada yang datang dengan bau rokok di mulut. Bagaimana kita mahu beroleh kualiti khusyuk dengan solat yang sedemikian rupa? Kalau kita datang menghadap raja pun menjaga segala pakaian, tutur kata, bau-bauan kita, apakah dengan Allah kita buat lebih kurang sahaja?
Kemudian, berusahalah memahami bacaan-bacaan dalam solat kita. Jangan hanya tahu baca, tetapi tidak memahami makna. Sudah berbelas, berpuluh tahun solat, pun masih tak usaha untuk memahami bacaan dalam solat. Bersungguhkah kita untuk mencapai kualiti solat yang baik?
Yang terakhir, ingatlah bahawasanya solat itu bukan hanya tentang dalam solat. Tetapi solat itu dinilai bagaimana karakter dan akhlak kita di luar solat. Di situ ada sedikit penilaian atas kejayaan solat kita dalam mengesani diri kita.
Jika kita masih gagal mengubah diri kita, jangan salahkan kefardhuan solat. Tetapi salahkanlah kualiti solat yang kita laksanakan. Teruskan solat, perbaiki solat dan perbaiki diri kita.
Sumber: http://www.langitilahi.com/kenikmatan-yang-kita-hilang-dalam-solat/
Subhan Allah nice thoughts.
ReplyDelete