Thursday, April 16, 2020

Keutamaan tadabbur al-Quran

SETIAP Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya.
Oleh Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman
AL-QURAN dipelihara dengan dua keadaan, iaitu terpelihara dalam mashaf (fis sutur) dan dalam dada penghafaz al-Quran (fis sudur).
Bagaimanapun kitab suci ini bukan sahaja digalakkan untuk menghafaznya, malahan setiap Muslim dituntut memahami maksud kalimah al-Quran dibaca serta mentadabbur ayat-ayatnya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia agar memahami, memerhati, menyelidiki serta mentadabbur, antaranya ialah sepotong ayat yang bermaksud: “Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.” (Surah Sad, ayat 29).
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian) tidak mahu memikirkan (mentadabbur) isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa, ayat 82).
Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan bukan hanya untuk dibaca malahan dituntut supaya difahami, dihayati dan mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan ini.
Umat Islam sentiasa digalakkan agar sentiasa menghayati dan mengkaji ayat al-Quran agar mereka beroleh mutiara ilmu serta hikmah daripadanya.
Manusia perlu melakukan tadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran secara mendalam agar petunjuk yang diberikan Allah SWT dalam kitab suci al-Quran al-Karim itu dapat memperteguhkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Di samping itu, penelitian dan tadabbur terhadap ayat suci al-Quran al-Karim akan menginsafkan betapa kerdilnya manusia dan betapa Agung-Nya Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Menurut Syeikh Habannakah, Tadabbur ialah proses pemikiran mendalam, penelitian dan penghayatan terhadap isyarat daripada ayat al-Quran setelah memahami maksud ayat menerusi tafsir.
Tadabbur dapat menyingkap rahsia, mukjizat dan tuntutan sebenar al-Quran. Perkataan tadabbur hanya digunakan terhadap ayat al-Quran, sebaliknya perkataan digunakan untuk proses yang sama terhadap perkara lain ialah tafakkur.
As-Suyuti (911H) menyatakan bahawa tadabbur melibatkan penelitian mendalam yang membabitkan unsur hati. Hati yang serta-merta tunduk mentaati Allah hasil tadabbur akan menambahkan iman dan penghayatan amalan.
Kajian dan tadabbur terhadap al-Quran sentiasa menghasilkan penemuan kepada keajaiban al-Quran. Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadikannya mukjizat terulung yang diturunkan Allah SWT.
Allah mencabar Musyrikin Quraish untuk mendatangkan kata-kata seumpama al-Quran dalam firman-Nya bermaksud: “(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti al-Quran itu, jika betul mereka orang yang benar dakwaannya.” (Surah At-Tur, ayat 34).
Cabaran ini diulang lagi dalam surah Hud ayat 13 dan surah al-Baqarah ayat 23. Allah mencabar mereka untuk mendatangkan 10 surah yang sama seperti al-Quran.
Apabila mereka gagal, cabaran itu dikurangkan kepada satu surah sahaja. Akhirnya kegagalan mereka ini dihuraikan dalam surah al-Isra’ ayat 88 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”
Al-Tabari menegaskan dalam tafsirannya kepada ayat 14 Surah Hud bahawa apabila manusia gagal untuk menjawab semua cabaran itu, hendaklah mereka sedar bahawa al-Quran itu diturunkan Allah Yang Maha Berkuasa. Nabi Muhammad SAW tidak mereka-reka al-Quran kerana tiada manusia yang mampu melakukannya.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan al-Quran), maka ketahuilah bahawa al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah dan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya? (Surah Hud, ayat 14).
Justeru setiap penelitian yang mendalam terhadap isi kandungan al-Quran termasuk dalam tadabbur. Di sinilah terbukti keunikan al-Quran. Ia mencabar bangsa Arab yang terkenal hebat dan mahir berbahasa dengan bahasanya sendiri.
Bahkan setiap huruf al-Quran, frasa dan ayat-ayatnya sentiasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tidak mungkin manusia dapat menukar ganti kedudukan, bentuk bahkan baris setiap perkataan al-Quran.
Penulis adalah Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:15 AM


Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/03/557832/keutamaan-tadabbur-al-quran

Wednesday, April 8, 2020

Solat tahajud anugerah terindah

4 Kelebihan Utama Solat Tahajjud Di Akhir Malam | Pnext.biz

Dr Azlan Shaiful Baharum
mimbar@hmetro.com.my
 SEORANG Muslim yang bertaqwa akan melakukan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.
Menjalankan perintah Allah salah satunya iaitu dengan menunaikan solat. Ia anugerah terindah yang hanya diberikan Allah kepada umat ini.
Solat yang diwajibkan iaitu solat fardu lima kali dalam sehari semalam. Sedangkan solat sunat itu tidak wajib dilakukan, tetapi jika dilakukan akan mendapat pahala serta keutamaan.
Salah satu solat sunat yang sangat dianjurkan untuk ditunaikan umat Muslim iaitu solat tahajud.
Solat tahajud adalah solat sunat yang ditunaikan pada malam hari iaitu waktu yang utama sepertiga malam dan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa.
Pada waktu berkenaan malaikat turun ke bumi. Allah berfirman dalam Surah Al-Muzammil ayat 1-4 yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil’.
Solat tahajud dilakukan paling minimum iaitu dua rakaat dan paling maksimum tiada batasannya serta diakhiri dengan solat witir sebagai penutup.
Diriwayatkan Saidatina Aisyah R.A, ia berkata: “Nabi SAW menunaikan solat malam hingga bengkak kedua-dua telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda, ‘Mengapakah engkau melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah? ‘Baginda menjawab, Adakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi yang dijamin keselamatan serta kebahagiaannya di syurga pun sentiasa melaksanakan solat tahajud, tetapi adakah kita masih ragu-ragu untuk melaksanakannya? Solat tahajud tidak hanya bermanfaat untuk di ahkirat nanti iaitu mendapat pahala, diampunkan dosa, ditinggikan darjatnya, tetapi solat tahajud juga mempunyai banyak manfaat lain yang boleh kita rasakan sekarang.
Seseorang yang selalu terbiasa solat tahajud akan dapat mengawal emosinya, kerana mempunyai ketenangan dan kedamaian jiwa.
Solat tahajud adalah ibadah saranan mendekatkan diri kepada Allah.
Jika kita ingin meminta sesuatu tentunya kita perlu mendekatkan diri kepada yang akan kita minta. Seperti kita ingin meminta keampunan atas dosa yang kita lakukan, maka kita perlu mendekatkan diri kepada Allah supaya taubat nasuha kita diterima.
Solat tahajud hanya dilakukan secara rutin dan istiqamah oleh orang yang mempunyai niat tulus sehingga keistimewaan solat tahajud diberikan kepada orang yang mahu dan mampu melakukan solat tahajud dengaan penuh keikhlasan.
Jom kita tingkatkan amalan solat tahajud kita. Semoga dengan solat tahajud yang kita tunaikan, Allah akan memperkenankan permohonan kita semua, terutama dalam mendepani kes Covid-19 yang semakin meningkat di negara kita.
Ya Allah! Jauhkanlah bala dan wabak ini seberapa segera dari negara kami Malaysia khususnya dan negara umat Islam serta seluruh dunia umumnya.
Penulis ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 7:05 AM


Saturday, February 1, 2020

Kebaikan berwuduk sebelum tidur


Anjuran Berwudhu Sebelum Tidur - Bincang Syariah
SEBELUM tidur kita disunatkan berwuduk. Sekiranya terbatal, perlukah bangun dan memperbaharui wuduk dan apakah kelebihan berwuduk sebelum tidur?
Daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepadaku maksudnya: “Apabila kamu datang ke tempat perbaringan, hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk solat, kemudian berbaring atas lambung kanan dan berdoalah: ‘Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu dan aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku sandarkan belakangku kepada-Mu dengan penuh rasa harap dan takut kepada-Mu. Tiada tempat bersandar dan selamat selain daripada-Mu. Aku beriman dengan kitab-Mu yang Kamu turunkan dan nabi-Mu yang Kamu utuskan.’”
“Sekiranya kamu mati, nescaya kamu mati di atas fitrah dan jadikanlah rangkuman
doa ini sebagai akhir apa yang kamu baca. (Riwayat al-Bukhari – 6311)
Dalam sebuah hadis yang turut diriwayatkan al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” (Riwayat al-Bukhari – 247 dan Muslim – 2710)



Al-Qadhi ‘Iyadh berkata: Hadis itu terdapat tiga sunah. Salah satunya berwuduk untuk tidur kerana dibimbangi Allah mematikannya tanpa taharah (tanpa dalam keadaan bersuci). Seterusnya supaya mimpinya benar serta jauh daripada permainan syaitan dalam mimpinya dan yang menakutkannya.  Ketiga, jika dia mati, maka akhir amalannya di dunia adalah bertaharah serta zikrullah. (Lihat  Ikmal al-Mu’lim, 8/207)
Menjawab persoalan di atas, apabila seorang Islam berwuduk untuk tidur dan kemudian terbatal sebelum dia tidur, maka sunat baginya mengulangi wuduk.
Ini kerana maksud wuduk ialah supaya seseorang tidur dalam keadaan suci.
Berdasarkan sebuah hadis daripada Muaz bin Jabal R.A, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang Islam yang tidur dengan berzikir dan dalam keadaan taharah, kemudian dia terjaga pada waktu malam, lalu dia memohon kepada Allah kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali Allah SWT perkenankan hajatnya.” (Riwayat Abu Daud – 5042) dan Ibn Majah – 3881)
Muhammad Kamil Abd al-Somad, dalam bukunya  al-I’jaz al-Ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah  menjelaskan, manfaat dalam wuduk sangat  besar untuk tubuh badan manusia.
Mula  daripada membasuh tangan dan menyela-nyela jari, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam lubang hidung, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan sampai siku, mengusap kepala, membasuh telinga, kemudian membasuh kaki hingga buku lali.
Justeru, bagaimana pula jika dilakukan wuduk sebelum tidur? Ramai pakar kesihatan menganjurkan agar membersihkan kaki, mulut dan muka sebelum tidur.
Bahkan, sejumlah pakar kecantikan yang menghasilkan alat kecantikan mencadangkan agar dapat menjaga kesihatan kulit muka.
Selain itu, galakan berwuduk juga mengandungi nilai ibadat  yang tinggi.
Jika seseorang berada dalam keadaan suci, bererti dia dekat dengan Allah.
Sebenarnya, terlalu banyak rahsia dan hikmah wuduk kerana kita yakin setiap perintah Allah pasti mempunyai maslahat dan manfaat serta menolak mudarat.
Sumber: https://epondok.wordpress.com/

Thursday, December 26, 2019

Hikmah takdir Ilahi

Fadly Samsudin
KITA perlu sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT dalam setiap keadaan yang berlaku walaupun perkara itu tidak baik pada pandangan mata kita.
Mungkin ada yang diuji dengan ujian berat seperti kehilangan orang tersayang, harta benda, hilang pekerjaan, menghidap penyakit kronik dan sebagainya.
Dalam Islam, jika berlaku sesuatu kita dilarang mengatakan ‘kalau seandainya’ begitu dan begini kerana ia membuka pintu syaitan.
Namun, kita perlu ucapkan Qadarallah masyaa fa’ala yang bermaksud semua itu Allah SWT sudah takdirkan dan buat apa yang Dia inginkan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah dan pada kedua-duanya terdapat kebaikan. Carilah apa saja yang bermanfaat untuk dirimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu patah semangat. Apabila musibah yang menimpamu janganlah kamu katakan, ‘seandainya aku melakukan ini dan itu’ tetapi ucapkanlah, Qadarallah masyaa fa’ala (demikianlah takdir Allah, apa yang Dia kehendaki pasti akan Dia lakukan). Sebab kata seandainya dapat membuka pintu masuk syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang sudah Allah SWT takdirkan pasti akan terjadi dan kita juga tiada upaya untuk menolaknya.
Tiada gunanya juga menyesali sesuatu yang sudah berlalu kerana ia pasti tidak akan kembali lagi selain perkara itu juga termasuk gangguan syaitan yang dapat merosakkan hati manusia sehingga membuat kita merasa sedih dan berputus asa daripada rahmat Allah SWT.
Oleh itu, letakkan perasaan reda dengan takdir yang ditetapkan dan berusaha bangkit supaya lebih mentaati Allah SWT.
Setiap yang berlaku kita perlu yakin dan percaya di sebaliknya ada hikmah yang cukup besar.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Allah SWT berfirman:
“Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka baginya sangkaan buruknya kepada-Ku.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Setiap ketentuan yang ditakdirkan Allah SWT itu di luar kemampuan kita untuk menolaknya dan ia juga tidak boleh diubah kerana sudah tertulis sejak di Luh Mahfuz lagi.
Malah, ketika ujian terhadap diri kita semakin memuncak, ingatlah doa kita sangat mustajab di sisi Allah SWT.
Barangkali ada antara kita ditimpa ujian rumah mengalami kebakaran atau musnah ditenggelami banjir, maka kita boleh berdoa mengharapkan Allah SWT menggantikan musibah itu dengan perkara yang lebih baik selepas ini.
Bersangka baik kepada Allah SWT mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan yakin dan tawakal.
Dalam kitab Riyadus Solihin, Imam Nawawi turut membuat satu bab berkaitan dengan yakin dan tawakal. Kedua-dua elemen itu tidak dapat dipisahkan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “...bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Surah al-Anfaal, ayat 61)
Jika kita yakin serta bertawakal dengan sepenuhnya kepada Allah SWT, maka hasilnya akan lahir satu keputusan terbaik buat diri yang mungkin kita merasa sukar atau sudah tiada jalan keluar buatnya sebelum itu.
Antara perkara yang merosakkan kehidupan manusia adalah rasa putus asa, malas serta diri sentiasa gelisah.
Apabila sikap mudah berputus asa melanda diri pastinya ia akan menjejaskan dan memungkinkan tertutupnya peluang untuk berfikir dan bekerja.
>>Penulis wartawan Harian Metro
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:22 AM
Sumber: di sini

Monday, December 23, 2019

TUJUH WASIAT ULAMA' SUFI

Seorang Ulama' Sufi berkata:
Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu:
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan kata-kata hikmah darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan husnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan kelurusan
    Agamanya.
7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan akan keredhaan Allah padanya.

Tuesday, December 17, 2019

Mulianya pembaca al-Quran

Pembaca al-Quran sebenarnya mempunyai kedudukan terpuji di dunia dan akhirat. Mana tidaknya di saat orang ramai berharap bantuan dan pertolongan di Hari Kiamat, pembaca al-Quran dijanjikan dengan syafaat yang tersendiri. Ini seperti sabdanya yang bermaksud “Bacalah al-Quran kerana dia pada hari kiamat akan datang memberi syafaat kepada para sahabatnya (Riwayat Muslim).
Lebih mulia lagi pembaca al- Quran di akhirat akan dipinta untuk membaca al-Quran dan masuk ke dalam syurga. Dalam sebuah riwayat disebutkan “Bacalah al-Quran dan naiklah ke syurga, Bacalah dengan tartil seperti engkau membacanya di dunia, kerana syurga yang engkau tempati berdasarkan ayat terakhir yang kau baca”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan Tirmizi)
Justeru, masyarakat Islam diajak turut sama membaca al-Quran ataupun mendengarkan bacaannya setiap hari. Ini supaya aktiviti membaca al-Quran dapat dilakukan sepanjang masa dan tidak terhad melalui aktiviti khatam al-Quran di majlis-majlis tertentu sahaja.
Molek juga jika dapat diprogramkan untuk khatam sebulan sekali ataupun setidak-tidaknya setahun sekali agar al-Quran dan pengajarannya dekat dengan hati sanubari setiap muslimin. Begitu pula disarankan agar di rumah, di pejabat, di toko-toko perniagaan mahupun di dalam kenderaan diperdengarkan bacaan al-Quran demi mengharap ganjaran yang dijanjikan.
Kedudukan al-Quran sebagai kitab suci yang dipelihara Allah daripada sebarang penyelewengan dan kekurangan jelas dapat dilihat dari sudut kemukjizatannya dalam pelbagai bidang sains dan teknologi masa kini. Ia sekali gus mengajak ilmuwan untuk terus mengkaji dan meneliti kebenaran al-Quran seraya beriman dengan Allah SWT Tuhan sekelian alam.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON
Sumber: https://epondok.wordpress.com/

Monday, December 16, 2019

Istighfar kunci penyelesaian kepada kesempitan kita


SESEKALI diberi ujian, adakalanya membuatkan kita ‘lumpuh’ sehingga gagal memikirkan jalan keluar. 

Apatah lagi, ia ditambah dengan emosi yang tidak tenteram dan jiwa tidak tenang, maka semakin terhimpitlah kehidupan kita.
Sebenarnya, kita lupa bahawa ALLAH SWT sudah menyediakan jalan penyelesaiannya tanpa sesaat pun meninggalkan kita.

Jika kita dalam keadaan itu, apa patut dilakukan?
Mudah sahaja, beristighfar dengan menyebut ‘Astaghfirullah’.
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang melazimkan istighfar, nescaya ALLAH pasti akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan. Dan kelapangan daripada setiap kesedihan dan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Abu Dawud)
Dengan beristighfar, kita sebenarnya kembali kepada ALLAH SWT dan menginsafi kembali, apakah masalah itu datangnya akibat kelalaian diri sendiri atau kesilapan masa lalu kita?
Rasulullah SAW yang maksum itu pun sentiasa beristighfar sebanyak 70 kali sehari memohon keampunan-Nya!
Bagaimana kita yang banyak dosa ini agak sukar untuk beristighfar?
Apa kata selepas ini kita cuba istighfar setiap hari.
Mudah-mudahan dosa kita akan diangkat ke langit dan akan terbukalan jalan-jalan yang akan memudahkan urusan yang tertangguh.
Usah sombong untuk beristighfar kerana ALLAH SWT sedang menguji dan menilai siapakah yang menjadi tempat kita bergantung pada saat kita diuji.
Oleh:Muhd Nasruddin Dasuki
Sumber: https://epondok.wordpress.com/

Sunday, December 8, 2019

Amal 10 adab dalam pekerjaan, gaji berkat

ISLAM menggariskan adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang beriman dalam mencari rezeki sama ada menjadi pekerja awam, swasta mahupun bekerja sendiri.
Ini untuk memastikan setiap pekerjaan membuahkan hasil dalam bentuk rezeki halal, malah lebih penting mendapat keredaan Allah SWT.
Malah keredaan Allah SWT inilah yang menjadikan rezeki yang diperoleh bukan sahaja halal, bahkan berkat dalam erti kata kebaikan yang melimpah-ruah.
Ia menjadi rahsia kepada orang beriman yang sebahagiannya memiliki pendapatan kecil atau sederhana tetapi bahagia dalam kehidupannya sama ada sebagai individu mahupun keluarga.
Berikut 10 adab yang boleh diamalkan untuk memastikan pekerjaan kita membuahkan hasil yang halal dan berkat.
1. Membaca doa sebelum keluar rumah. Antara yang boleh diamalkan ialah, ‘Dengan nama Allah, aku bertawakal dengan Allah dan tiada daya dan upaya kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Agung.
2. Niat keluar bekerja dengan ikhlas kepada Allah SWT untuk mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga serta menyumbang kepada masyarakat. Abu Mas’ud RA berkata Nabi SAW bersabda: Apabila seorang lelaki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah. (HR Bukhari)
3. Bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berusaha gigih kerana mengikuti pesanan Nabawi seperti hadis yang diriwayatkan Saidatina Aishah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang hamba yang apabila dia bekerja, dia menyempurnakan pekerjaannya. (HR Tabrani)
4. Menunaikan tugas dan tanggungjawab dalam pekerjaan dengan jujur serta amanah, sekali gus tidak menyalahgunakan jawatan, kuasa dan harta. Abdullah Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wajib ke atasmu jujur kerana sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan menunjukkan ke syurga serta seseorang selalu jujur dan memelihara kejujuran hingga ditulis dan di sisi Allah sebagai orang jujur. (HR Tirmizi)
5. Tidak terbabit dengan pekerjaan haram atau syubhah, iaitu yang tidak jelas halal-haram. Nu’man Basyir RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perkara halal itu jelas, perkara haram juga jelas dan antara keduanya adalah syuhbat; banyak orang tidak mengetahui apakah perkara halal atau haram dan sesiapa meninggalkannya bebaslah ia untuk agama dan kehormatannya serta selamat (daripada kecaman syaral). Dan barang siapa terjatuh di dalamnya, dikhuatiri terjatuh dalam keharaman. (HR Tirmizi)
6. Tidak melakukan perbuatan dosa dan mungkar kerana ia boleh menjadi sebab terhalangnya rezeki seperti hadis diriwayatkan Tsauban RA yang berkata Rasulullah SAW bersabda: Tiada sesuatu yang boleh menambah umur kecuali kebajikan dan tiada sesuatu boleh menolak takdir kecuali doa. Sesungguhnya seseorang akan tercegah daripada rezeki oleh sebab dosa yang dia lakukan. (HR Ibnu Majah)
7. Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh seperti yang diriwayatkan Abdullah ibnu ‘Amru ibnu ‘Ash RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sungguh amat beruntunglah orang Islam (berserah diri) dan berasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya. (HR Muslim)
8. Bersedekah kerana sebahagian apa yang diperolehnya juga menjadi hak orang lain dan meyakini hartanya tidak akan berkurang dengan ibadat itu. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. (HR Muslim)
9. Tidak menjadikan alasan sibuk mencari rezeki untuk tidak beribadat kerana Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, kerjakanlah ibadat semata-mata untuk-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku tutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak mengerjakannya, maka Aku penuhi dadamu dengan kesibukan tetapi Aku tidak menutup kemiskinanmu.” (HR Ibnu Majah)
10. Bertawakal kepada Allah SWT selepas melaksanakan tugasan atau pekerjaan. Umar al-Khathab RA berkata Rasulullah SAW bersabda: Sungguh kalau kamu sekalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sungguh-sungguh, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang. (HR Tirmizi)
Sumber: epondok

Saturday, December 7, 2019

JANGAN BERSEDIH DENGAN URUSAN DUNIA

Seorang lelaki yang sedang dirundung kesedihan datang menemui Sayyidina Ali bin Abi Thalib, ia pun berkata:
Wahai Amirul Mukminin, aku datang kepadamu kerana aku sudah tidak mampu lagi menahan beban kesedihanku.”
Sayidina Ali menjawab, “Aku akan bertanya dua pertanyaan dan jawablah!
Lelaki itu berkata, “Ya, tanyakanlah!
Apakah engkau datang ke dunia bersama dengan masalah-masalah ini?” tanya Ali bin Abi Thalib
Tentu tidak” jawabnya.
Lalu apakah kamu akan meninggalkan dunia dengan membawa masalah-masalah ini?” tanya sayyidina Ali bin Abi Thalib
Tidak juga” jawabnya.
Lalu Sayyidina Ali berkata,
Lalu mengapa kamu harus bersedih atas apa yang tidak kamu bawa saat datang dan tidak mengikutimu saat kamu akan pergi?
Seharusnya hal ini tidak membuatmu bersedih seperti ini.
Bersabarlah atas urusan dunia....
Jadikanlah pandanganmu ke langit lebih panjang dari pandanganmu ke bumi dan kau pun akan mendapat apa yang kau inginkan….
TERSENYUMLAH!
KERANA REZEKI MU TELAH DIBAHAGI DAN DI SUSUN OLEH ALLAH
DAN URUSAN HIDUP MU TELAH PUN DI ATUR OLEH YANG MAHA PENCIPTA..….
Urusan dunia tidak layak untuk membuatmu bersedih semacam ini kerana semuanya ada di tangan Yang Maha Hidup dan Maha Mengatur….”

Sumber: FB Us Ahmad Nasir

Thursday, December 5, 2019

Banyak waktu, tempat berdoa tanda Allah Maha Pemurah

Oleh Nazmi Yaakub
SIFAT Allah Yang Maha Pemurah bermakna pemberian-Nya bukan sahaja tidak mempunyai had, bahkan Dia suka kepada hamba-Nya yang meminta dan memohon.
Malah Allah SWT Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengetahui tidak jemu serta bosan untuk mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-Nya.
Sifat itu tidak dapat ditandingi kerana manusia yang sangat kaya dan pemurah sekalipun pasti akan ada sifat jemu serta bosan terutama sekiranya permintaan dikemukakan pada ketika dan suasana yang tidak betul.
Salman al-Farisi meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT ialah zat yang mempunyai sifat yang sangat pemalu dan memberi dengan banyak walaupun tanpa diminta. Apabila seseorang mengangkat kedua-dua tangan untuk meminta sesuatu daripada Allah SWT, maka Dia malu untuk membiarkan tangan itu turun kosong dan tidak mendapat apa-apa. (HR Tirmizi)
Malah, tindakan meminta-minta atau memohon sekiranya dilakukan kepada manusia, ia lazimnya dianggap sebagai perbuatan yang rendah dan hina.
Bagaimanapun dalam konteks hamba yang meminta dengan Allah SWT, perbuatan itu dipandang baik dan digalakkan dalam setiap masa serta tempat.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Di sisi Allah SWT, tidak ada sesuatu yang lebih mulia daripada doa.” (HR Tirmizi)
Tidak hairanlah banyak waktu dan tempat yang elok untuk digunakan untuk berdosa seperti dijelaskan sama ada dalam hadis mahupun pengalaman golongan ulama dan aulia.
Antara waktu yang mustajab ialah antara azan dengan iqamah, antara dua khutbah pada Jumaat yang juga sepanjang hari itu dan sepertiga malam terakhir, selain Hari Arafah ketika musim haji, iaitu 9 Zulhijjah.
Dalam konteks tanah suci, tempat yang mustajab doa ialah di sekitar dinding Kaabah, Multazam dan Hajarul Aswad, belakang Makam Ibrahim serta Hijir Ismail.
Begitu juga di bukit Sofa dan Marwah serta sepanjang saie, Arafah, Muzdalifah, Mina dan sekitar Jumrah Ula, Wusta dan Aqabah.
Sementara itu tempat mustajab doa di Madinah pula, Raudhah dan Masjid Quba serta Makam Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT: “Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah SAW juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 64)
Sumber: https://epondok.wordpress.com/