Duit
dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit
belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya.
Andai ditakdirkan kita mati
hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang kosong. Tanpa wang,
tanpa harta. Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.
Allah
swt berfirman;
"Dan ketahuilah
bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian; sesungguhnya Allah pada sisi-Nya
itu adalah ganjaran yang besar." - [Surah al-Anfal : 28]
"Demi sesungguhnya!
Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan
merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan
jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
- [Al-Baqarah 2:155]
Bila diuji, bersabarlah wahai hati.
Musibah datang dalam
pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah
daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.
Bila
diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita
menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali
muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan
seharian..
Atau
bagaimana?
Jarang sekali kita bersyukur
dengan ujian yang diberikan.
Sedangkan mungkin juga, ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita,
supaya kembali dekat kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah
tangan bermohon doa kepada Dia.
Moga
kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.
Kerana Dia kasihkan kita.
Sekali-sekala Dia 'mengejutkan' kita dari lena yang panjang. Menyedarkan kita
dari kealpaan dan kelalaian.
Kerana
semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini sebagaimana
firman-Nya;
"Sesungguhnya Rab
(Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan
menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah)
adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)." - [Surah
Al-Israk:30]
Wang dan
harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu
menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia 'pergi' dari kita.
Contohnya
tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi
sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau
terlanggar pokok, semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu
keluar dari poket kita.
Allah
swt berfirman berfirman lagi dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;
"Adakah manusia
mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah
beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?"
Maka, bila Allah menguji kita dengan
rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah, periksa dan koreksi diri
sendiri.
Peringatan
buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang
tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah
mahu 'menegur' kita dengan cara tersebut.
Diriwayatkan
dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;
"Apabila Allah menghendaki
kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia;
sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang hambaNya maka Dia
menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di hari Kiamat." -
[Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]
Mungkinkah
cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?
Atau
mungkin kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah?
Atau
mungkin juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan
perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.
Suatu
peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan
perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.
Atau
mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita menerima
ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada kita.
Bukankah Allah sayang kepada orang yang
bersabar dan menerima ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?
Firman
Allah;
"Tidak ada sesuatu
musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa
yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.
Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." - [At-Taghabun:11].
Bersabarlah wahai hati,
sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepada-Nya.
Allah
berfirman lagi;
"Jadikanlah sabar dan
solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat
sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." - [Surah al-Baqarah:45]
"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah
pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah
beserta orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah:153]
Wahai
hati, bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang, mohonlah
pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa cukuplah Allah
sebagai penolong.
Bersabarlah wahai hati.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibah, hadapilah
segalanya dengan tabah dan ucapkanlah "Innalillahiwainnailaihirajiun". Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan
kepada-Nya juga kita kembali.
Muhasabah buat diri ini. Semoga kita tergolong
dalam golongan mereka yang sabar dan khusyuk.
Sumber:akuislam.com
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)