Monday, May 28, 2012

Menangis. Kita ego denganNya.

Melalui kehidupan sehari-hari, banyak cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi. Cabaran pula tidak hanya datang dalam bentuk fizikal. Tetapi juga menyerang dalam bentuk rohani dan mental.

Dunia ini sememangnya medan ujian. Allah ingin melihat, siapakah hamba-Nya yang benar-benar terbaik dalam kehidupannya terhadap Allah SWT.

Ujian-ujian ini kadangkala buat kita lemah. Lemah hingga kadangkala kita tersungkur. Rasa tiada harapan. Kita dapat rasakan betapa kita memerlukan kekuatan. Telah kita cari tetapi masih tidak mampu berada dalam gapaian.

Diasak sebegini, adakah kita pernah menangis memohon pertolongan?

Dengan keadaan yang tidak pasti ke syurga, pernahkah kita menangis risaukan kedasyatan neraka?

Dengan tidak mengetahui bila saat kematian, pernahkah kita menangis jika tidak sempat bertaubat?

Dengan tidak mampu mengikuti kehidupan Rasulullah, pernah kita kita menangis malu?
Pernahkah air mata kita, menitis kerana-Nya?

Siapa menangis kerana-Nya, dia terselamat

Allah SWT amat memahami keadaan manusia. Allah tahu betapa manusia ini mudah pecah dan lemah bila diasak dengan ujian. Sebab itu, terlalu banyak hakikatnya talian hayat untuk insan yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Antaranya adalah tangisan.

Kekuatan tangisan yang ikhlas kerana Allah SWT, hingga mampu mengheret kita untuk berada di bawah naungan-Nya, pada hari tiada naungan selain naungan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Tujuh golongan yang akan diaungi oleh Allah pada hari tiada naungan selain naungan-Nya adalah: 1) Pemimpin yang adil, 2) pemuda yang kehidupannya sentiasa beribadah kepada Allah, 3) seorang lelaki yang hatinya bertautan dengan masjid, 4) dua lelaki yang saling cinta mencintai hanya kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana-Nya, 5) seorang lelaki yang dirayu oleh perempuan kaya lagi cantik untuk berzina, kemudian dia berkata: Sesungguhnya Aku takutkan Allah, 6) seorang yang mengeluarkan sedekah secara sembunyi(ikhlas) sehingga tangan kirinya tidak mengetahui, 7) seorang yang bermunajat kepada Allah di tempat sunyi sehingga mengalir air matanya” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Siapakah yang menitiskan air matanya, kerana Allah SWT?
Menyesali dosa-dosanya?
Malu terhadap keadaan dirinya yang ingkar dan penuh maksiat?

Mereka itu menangis

Kisah 1:
Satu hari, semasa masih kecil, Umar Abdul Aziz pernah menangis teresak-esak secara tiba-tiba sehingga membuatkan ibunya risau. Lantas ibunya bertanya:
“Wahai Umar, atas sebab apakah engkau menangis?”
Umar Abdul Aziz menjawab: “Wahai ibu, sesungguhnya aku teringatkan maut” Dan dia terus menangis teresak-esak.
Mendengar jawapan itu, si ibu gementar dan turut menangis bersama.

Kisah 2:
Satu hari, Hanzalah RA menangis teresak-esak. Dia menangis dengan kuat sekali sambil berjalan hendak bertemu Rasulullah SAW.

Di tengah perjalanan, dia bertemu dengan Abu Bakr RA. Abu Bakr bertanya: “Wahai Hanzalah, apakah yang telah terjadi pada kamu?”

Hanzalah menjawab: “Wahai Abu Bakr, sesungguhnya Hanzalah telah munafik”
“MasyaAllah, kenapa kau katakan sedemikian?”

“Ketika kita bersama dengan Rasulullah SAW, kita terasa seakan-akan syurga dan neraka berada di hadapan kita. Tetapi apabila kita pulang kepada keluarga kita, kita lupa akan semua itu”
Abu Bakr RA yang mendengar bicara Hanzalah, lantas menangis dengan kuat juga. “Abu Bakr juga telah munafik!”

Lantas kedua-dua orang ini bergerak bertemu Rasulullah SAW dalam keadaan mereka menangis teresak-esak. Mereka menangis kerana mereka tidak mampu menerima ‘kemunafikan’ mereka. Mereka terasa seakan berpura-pura. Lantas mereka ketakutan andai Allah tidak menerima mereka.

Bila sampai di hadapan Rasulullah dan mereka ceritakan apa yang mereka rasa, Rasulullah SAW bersabda: “Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu tetap dalam keadaanmu seperti mana ketika kamu berada di hadapanku dan sentiasa mengingatinya, nescaya malaikat akan bersalaman dengan kamu di tempat tidurmu dan di tepi jalan”

Kisah 3:
Pada satu hari, Rasulullah SAW pergi berjumpa dengan Abdullah ibn Mas’ud RA, dan memintanya untuk membacakan Al-Quran dan Rasulullah SAW ingin mendengarnya. Abdullah ibn Mas’ud RA terkejut, lantas berkata:

“Ya Rasulullah, kau hendak aku bacakan Al-Quran kepada kau? Sesungguhnya kau lebih mulia daripadaku, mendengar Al-Quran terus daripada Jibril yang datangnya daripada Allah. Apakah pantas aku membacakannya untuk kau?”

Rasulullah SAW menjawab: “Aku suka mendengarnya dari selainku”

Lantas Abdullah Ibn Mas’ud RA membaca Surah An-Nisa’ hingga tiba pada satu ayat, Rasulullah SAW bersabda: “Cukup”

Abdullah Ibn Mas’ud RA berhenti, kemudian dia melihat Rasulullah SAW yang sedang menunduk. Apabila Rasulullah SAW mengangkat wajahnya, Abdullah Ibn Mas’ud RA meriwayatkan: “Aku melihat kedua matanya basah dengan air mata”

Kisah 4:
Abdullah Ibn Rawahah RA, apabila melihat Ja’far Ibn Abi Talib gugur di medan Mu’tah, dia bergerak menggantikan sahabatnya itu. Dalam langkahannya, dia menangis. Sehingga ada yang bertanya:

“Apakah kau takut akan kematian? Kenapa kau menangis?”

“Tidak, aku tidak takut akan kematian. Aku hanya teringat dengan firman Allah SWT:

“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya(neraka); (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.” Surah Maryam ayat 71-72.

“Aku tidak tahu aku akan sampai ke mana selepas aku mati nanti”

Menangis melembutkan jiwa

Bila kita menangis, hati kita akan basah. Automatik, jiwa akan terbelai dengan kelembutan yang tidak akan kita jumpa di dalam televisyen, di dalam drama-drama hindustan, dalam sajak-sajak sastera, dalam novel-novel cinta.

Hati akan terlentur, ego akan menunduk.

Ketika inilah perasaan kehambaan akan menggunung.
Terasa kerdil dan tidak bermaya. Terasa kecil tidak berkuasa. Kepada Allah kita tumpahkan segala tangisan. Mengadu kepada-Nya, merayu kepada-Nya, menyatakan betapa menyesalnya kita, memberitahu betapa sukarnya kita hendak melepasi ujian-Nya, meminta belas kasihan-Nya, merayu.

Tetapi siapakah antara kita yang menangis kerana-Nya?

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang mulia dan dijamin syurga juga menangis. Rasulullah SAW yang telah diampunkan dosanya sebelum dan selepas juga menangis. Umar bin Abdul Aziz, satu susuk peribadi mulia dalam sejarah manusia juga menangis. Menangis kerana Allah. Menangis mengingati maut. Menangis membaca Al-Quran.

Kita?

Penutup: Menangislah. Sebelum air mata kita tidak berguna

Air mata hanya berguna di dunia. Di akhirat, ia sudah tidak bermakna. Di neraka, menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengembalikan kita ke dunia untuk beramal semula.
Di dunia jugalah kita hendak membanjiri jiwa kita dengan tangisan untuk melenturkannya.
Menangislah, jangan sesekali kita ego untuk menitiskan air mata.
Kita hamba berdosa, tidakkah kita terasa hina?
Kita mampu menangis pedih kerana putus cinta, gagal dalam ujian, permintaan tidak dipenuhi dan sebagainya. Kenapa kita tidak mampu menangis atas perkara yang bersangkutan dengan kematian kita, syurga neraka kita, dan Tuhan kita?
Abu Bakr RA pernah berkata: “Menangislah. Jika tidak mampu, maka buat-buatlah menangis”
Pernahkah anda menangis ikhlas kerana-Nya?
Sesungguhnya kita masih punya masa.
Sebelum mata tidak mengeluarkan airnya semula.

Sumber: http://langitilahi.com/

0 Comments:

Your Comment here (Komen anda di sini)