Semua di antara kita tahu bahawa sembahyang adalah merupakan perkara asas dalam agama Islam. Sembahyang boleh ditakrifkan sebagai, sebahagian daripada doa dan zikir serta amalan-amalan tertentu yang dilakukan oleh seorang hamba di hadapan Allah yang Maha Pencipta untuk menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga. Oleh kerana hubungan ini lebih merupakan hubungan spiritual, maka para pengkaji merasa sukar untuk membuktikannya dengan kaedah saintifik.
Sebagai seorang Islam, kita perlu meyakini bahawa, sembahyang itu bukan hanya sekadar latihan fizikal sahaja yang melibatkan anggota badan, seperti berdiri tegak, rukuk, sujud dan sebagainya. Malah, sembahyang itu juga melibatkan anggota dalaman seorang manusia, iaitu spiritualnya untuk menjadikannya lebih sihat dan bertenaga.
Di dalam Al Quran, banyak ayat-ayat yang menerangkan mengenai sembahyang dan kepentingannya. Allah berfirman di dalam surah Al Ankabut, ayat yang ke 45, yang bermaksud:
"Bacalah apa yang telah diturunkan kepadamu dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah kamu daripada melakukan kemungkaran. Dan sesungguhnya mengingati Allah itu adalah yang terbaik, dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan."
Daripada ayat ini dapat kita simpulkan bahawa orang yang mengerjakan sembahyang itu akan mendapat dua perkara, iaitu : Pertama : akan mendapat kesejahteraan
Kedua : dibersihkan daripada melakukan kemunkaran dan perkara-perkara yang tidak bermoral.
Sekarang mari kita lihat dan membuat perbandingan di antara suasana masyarakat umum yang ada sekarang yang sering menyisihkan nilai-nilai ketuhanan berbanding dengan masyarakat Islam yang selalu mendampingi Allah.
Memang tidak dinafikan lagi bahawa, manusia hari ini sedang menghadapi suasana kehidupan yang cukup gawat dan mendesak, hasil daripada pengaruh kehidupan kebendaan yang kuat dan melupakan kehidupan beragama. Ekoran daripada itu, mereka telah kehilangan ketenangan dalam hidup dan kehidupan mereka sentiasa dalam tekanan. Akibat daripada tekanan-tekanan hidup ini, mereka telah ditimpa berbagai-bagai masalah dan penderitaan, seperti;
1. Hidup mereka sentiasa menghadapi masalah dan tekanan yang membawa kepada berbagai jenis penyakit seperti penyakit psychosomatic, iaitu penyakit mental yang dizahirkan melalui penderitaan fizikal seperti migran, tekanan darah tinggi, ulcer dan sebagainya.
2. Usaha untuk menyelesaikan masalah mental ini, telah menjerumuskan mereka kepada ketagihan dadah narkotik dan juga alkohol, yang mana akibatnya membawa kepada berbagai-bagai masalah yang lain.
3. Daripada statistik yang dikumpulkan di negara-negara Barat menunjukkan bahawa, 30% daripada generasi muda mereka berada di ambang ketidakstabilan mental, yang mana mereka ini akan dengan mudah ditimpa berbagai-bagai jenis penyakit mental.
Golongan-golongan seperti inilah yang dinyatakan oleh Allah s.w.t sebagai golongan manusia yang sentiasa berada di dalam kerugian; iaitu sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surah al Asr; yang bermaksud:
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian."
Setelah melihat kepada keadaan manusia yang hidup penuh dengan tekanan dan penderitaan ini, maka bagaimanakah Islam menyuruh umatnya bersembahyang dan ianya pula dapat menjadikan seseorang itu menjadi tenang.
Untuk ini, mari kita lihat kaedah untuk bersembahyang yang dianjurkan oleh Islam. Pertama seseorang itu perlulah membersihkan dirinya dari segala jenis kotoran yang boleh menjejaskan sembahyang tersebut. Kemudian dia berdiri mengadap ke arah qiblat, yang juga boleh diertikan mengadap kepada Allah. Dan apabila telah mengadap Allah perlulah seseorang itu meninggalkan buat seketika segala masalah yang difikirnya, dan tumpuannya hanya kepada Allah semata-mata.
Setelah itu ia akan melafazkan kalimah-kalimah suci yang sangat mendalam maksudnya, yang dapat mempengaruhi jiwa dan amalan seseorang. Di antara ayat-ayat atau kalimah yang dibacakan berulang-ulang kali ialah ayat-ayat daripada surah al Fatihah, yang sangat mendalam maknanya. Oleh kerana bacaan surah al Fatihah sangat mustahak dalam sembahyang maka mari kita bincangkan secara ringkas akan maksudnya. Surah ini dimulakan dengan :
1. Bacaan "Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam." yang membawa makna, segala kesempurnaan itu hanya milik Allah yang telah menciptakan alam ini dengan sebaik-baiknya, dan sewajarnyalah segala pujian itu hanya untuk Allah.
2. Diikuti oleh "Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang" yang bermakna Allah itu bersifat dengan sifat Maha Pemurah dan juga Maha Penyayang kepada makhluk ciptaanNya. Perlu juga kita fahami bahawa alam ini juga wujud atas dasar sayang-menyayangi antara satu sama lain, iaitu tarik-menarik antara satu sama lain. Bumi mengelilingi matahari dan atom mengelilingi nukleusnya adalah disebabkan adanya daya tarik-menarik antara satu sama lain. Jika tidak ada daya tarikan ini, maka akan musnahlah alam ini. Begitulah juga dengan manusia, jika tidak ada perasaan sayang-menyayangi maka akan porak-perandalah kehidupannya.
3 "Yang mengusai Hari Pembalasan" yang juga membawa maksud manusia itu tidak akan dapat lepas lari dari menerima pembalasan samada baik atau buruk, iaitu bergatung kepada amalan yang telah dilakukannya di dunia.
4."Hanya padaMu kami sembah dan hanya padaMu kami memohon pertolongan" dan ayat ini benar-benar menunjukan pertolongan itu hanya daripada Allah kepada mereka yang benar-benar beriman dan mengharapkan pertolongan daripada Allah sahaja. Oleh itu bagi mereka yang tidak menjadi hamba kepada kebendaan atau hamba kepada hawa nafsu dan mengharapkan hanya kepada Allah, maka mereka akan puas hanya dengan Allah sebagai tempat pertolongan. Bagi mereka ini, kesempitan hidup atau sebarang bencana yang menimpa, tidak akan mendatangkan sebarang tekanan, kerana mereka yakin dan percaya ianya adalah ujian dan Allah pasti akan menolong mereka.
Seterusnya ayat 5,6,dan 7 "Tunjukkanlah kami jalanMu yang lurus dan benar, iaitu jalan mereka yang Engkau berikan petunjuk, dan bukannya jalan mereka yang sesat." yang juga bererti permohonan seorang hamba yang sangat mengharapkan pertolongan daripada Allah supaya ia tidak termasuk di dalam golongan orang-orang yang rugi samada di dunia dan apatah lagi di akhirat.
Bayangkanlah kalimah-kalimah ini diulang berkali-kali dalam sehari dengan memahami segala maksud dan ertinya. Sudah tentulah seseorang itu akan merasa aman dan tenteram dari segala macam tekanan dan himpitan hidup, kerana ia merasakan Allah itu sentiasa hampir kepadanya dan dapat membantunya dalam segala hal.
Malah pengkaji-pengkaji physikologi Barat juga mengakui bahawa dengan bersembahyang seseorang itu dapat melupakan masalahnya dan ia dapat memtenteramkan fikirannya. Sementara bagi kita orang Islam pula, ajaran Islam sudah menyediakan kita kaedah-kaedah untuk menteteramkan jiwa dan fikiran.
Abu Bakar Bin Yang: Institute of Islamic Understanding Malaysia
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)