Nabi Muhammad SAW ketika hayat Baginda kaya dengan senyuman. Bahkan Rasulullah turut bersabda senyum itu adalah sedekah. Senyuman adalah kebajikan dan kebaikan yang paling mudah untuk dilakukan. Ia menggambarkan kebersihan dan keperibadian insan yang memberi senyuman. Ikuti penerangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengenai ‘kuasa’ senyuman.
Michael Hart dalam bukunya bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History menempatkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh paling berpengaruh sepanjang sejarah kerana menurutnya, Baginda satu-satunya manusia berjaya meraih kejayaan luar biasa baik yang dinilai dari ukuran agama mahupun ruang lingkup duniawi.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata, Nabi Muhammad SAW yang diiktiraf oleh penulis buku bukan Islam itu adalah seorang insan yang dalam hidupnya amat kaya dengan senyuman.
Sahabat bernama Jabir berkata: “Setiap kali aku bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, aku sentiasa melihat senyuman pada bibirnya.”
Begitulah sosok seorang insan yang paling berpengaruh sepanjang sejarah, selain keistimewaan luar biasa yang Allah SWT kurniakan, Rasulullah SAW memiliki keperibadian yang tidak lokek dengan senyuman.
Berbicara mengenai kuasa senyuman, pakar psikologi mendedahkan bahawa untuk senyum seseorang perlukan sebanyak 17 gerakan otot wajah, manakala muka masam memerlukan 43 gerakan otot wajah. Ini bererti senyum lebih mudah berbanding memasamkan muka. Namun, ada yang lebih sukar untuk senyum.
Rasulullah SAW bersabda, senyum itu adalah satu sedekah. Selalunya, sedekah dikaitkan dengan material, tetapi sebenarnya boleh sahaja digantikan oleh gerakan jiwa murni datang daripada sekeping hati yang tulus.
Ganjaran pahala
Tiada kebajikan dan kebaikan yang amat mudah dilakukan dengan tawaran ganjaran pahala sedekah, iaitu senyuman. Cukup indah Islam mengajar umatnya membina kebaikan yang akan menghidupkan hati ke arah perbuatan yang membawa kebaikan.
Senyuman bukan sekadar pekerjaan bagi otot, senyum adalah kerja hati. Jika dalam hati penuh dengan kekacauan, kesulitan atau perasaan tidak tenang, maka sukarlah untuk bibir mengukir senyuman. Tetapi jika hati penuh tawaduk, ikhlas dan perasaan kasih sayang maka mudahlah bibir memberi senyuman.
Seorang yang bangkit pagi untuk menunaikan solat Subuh bukan disebabkan badan besar atau otot kuat, tetapi hati yang menggerakkan diri untuk patuh kepada perintah Allah SWT.
Sebab itu, dalam bidang pekerjaan, orang yang sentiasa gembira dan ceria dengan pekerjaannya akan mudah tersenyum, manakala orang yang tidak bahagia dengan pekerjaannya tidak akan mampu mengukir senyuman.
Ahli motivasi berpendapat, orang yang bahagia di tempat kerja akan bahagia dalam kehidupannya, manakala orang yang tidak bahagia di tempat kerja, tidak akan bahagia hidupnya
Begitulah keadaan orang yang sukar senyum kepada orang lain kerana hatinya tidak gembira. Orang hatinya muram, sedih dan kecewa tidak akan mampu untuk tersenyum. Justeru, orang yang tidak gembira dengan pekerjaannya, sebenarnya bukan hanya menyeksa orang di sekelilingnya, tetapi lebih parah lagi menyeksa diri sendiri.
Orang tidak ceria juga cenderung untuk menyebarkan perkara negatif yang boleh ‘membunuh’ idea kreatif. Mereka juga tidak akan membina hubungan yang jernih sesama rakan setugas, selalu kecewa dan bersangka buruk.
Tidak gembira dengan kerja
Oleh itu, bagi mereka yang terperangkap dengan pekerjaan tidak membahagiakan ini, ada dua pendekatan yang boleh diambil. Pertama, disarankan untuk meninggalkan pekerjaan itu, tetapi jika tidak berhenti atau bertukar kerja, perlulah mengubah cara memandang pekerjaan itu.
Semuanya bergantung bagaimana kita melihat sesuatu dalam hidup ini. Adakala kita berdepan dengan isu sama, tetapi dengan pandangan yang berbeza merubah perspektif kita terhadap hal berkenaan. Begitu juga masalah hidup atau pekerjaan, sukar atau senang bergantung bagaimana kita melihatnya.
Sentiasa positif
Oleh itu, lebarkan senyuman, sentiasa berfikiran matang dan sebarkan tenaga positif di tempat kerja untuk mendapat hasil cemerlang dalam pekerjaan. Hadapi cabaran dengan tindakan bijak dalam mencari solusi terhadap setiap permasalahan.
Saling menyalahkan, meletak beban di bahu orang lain tidak akan mendatangkan kejayaan melainkan hanya membina jarak dan konflik semata-mata. Justeru, dalam hidup ini jika tidak dapat apa yang kita suka, sukalah apa yang kita dapat.
Sebagai seorang hamba yang tidak sempurna, jangan kita terlalu leka dan sedih kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah Yang Maha Esa. Oleh itu, walaupun sering mendapat sesuatu yang tidak disukai, belajarlah berdamai dengan takdir Allah SWT kerana setiap yang kita suka belum tentu baik untuk diri.
Sumber: https://epondok.wordpress.com/
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)