Syed QutuB dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Permulaan surah ini merupakan ayat-ayat al-Quran yang pertama diturunkan mengikut kata sepakat para ulama. Riwayat yang menyebut ayat lain mula diturunkan tidak dapat dipegang.
Firman Allah SWT: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk).
Al-Maraghi berkata: Dengan kekuasaan Allah SWT, Tuhan yang mencipta engkau dan dengan kehendak-Nya, maka jadilah engkau orang yang dapat membaca. Dia telah menjadikan kamu tahu daripada tidak tahu kerana Nabi Muhammad SAW pada awalnya tidak tahu membaca dan menulis.
Lalu, datang perintah menyuruh baginda agar dapat membaca, walaupun tidak dapat menulis. Justeru, baginda segera diberi sebuah kitab yang akan dibacanya sekalipun baginda pada asalnya tidak tahu menulis.
Sayid Qutub berkata: Ayat ini dimulakan dengan menyebut secara umum salah satu dari sifat-sifat Allah, iaitu sifat mencipta dan memulakan penciptaan.
Hamka berkata: Dalam suku ayat pertama sahaja, iaitu “bacalah”, telah terbuka kepentingan pertama di dalam perkembangan agama ini. Nabi SAW disuruh membaca wahyu yang diturunkan kepada baginda di atas nama Allah SWT.
Bacalah sesuatu yang diredai dan disukai oleh Allah SWT dan jangan membaca sesuatu yang dimurkai-Nya. Membaca mestilah didasari oleh niat kerana Allah untuk memberi kebaikan kepada alam dan seluruh penghuninya.
Ayat ini dimulakan dengan “bacalah” yang merupakan fi’il amar yang memberi maksud: “ia merupakan arahan dan perintah supaya umat Islam sentiasa dituntut membaca, sama ada melalui ayat-ayat yang maqru’ah (yang dibaca seperti al-Quran dan al-hadis) atau ayat-ayat manzurah (yang boleh dilihat dengan pengamatan, kajian dan penyelidikan)”.
Ayat ini didahulukan dengan perintah membaca, bukan dengan sujud, solat, puasa, zakat, haji, jihad dan lain-lain, seolah-olah memberi kefahaman kepada kita bahawa membaca sebagai satu keistimewaan manusia yang dapat mengumpulkan khazanah ilmiah berbanding makhluk yang lain.
Ini kerana membaca sebagai kunci ilmu dan mukadimah dapatan pengetahuan, yang mana Allah mengilmukan manusia tetapi bersyaratkan sebab-sebab, antaranya melalui pembacaan.
Ayat ini juga mengajar kepada kita supaya bacaan yang pertama dengan kalimah Allah. Dalam erti kata yang lain, seolah-olah bacaan yang terpimpin dan baik yang boleh membawa kepada makrifatullah dan mengenali dalil-dalil yang akhirnya menatijahkan khasyatullah.
Kesimpulannya, Tuhan yang mencipta dan mengadakan alam ini adalah berkuasa menjadikan kamu tahu membaca, walaupun kamu tidak pernah mempelajarinya.
Kemudian, Allah SWT menjelaskan peringkat penciptaan manusia melalui firman-Nya yang bermaksud: Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku.
Al-Qurtubi berkata: Manusia disebut dalam ayat ini secara khusus dan istimewa dengan tujuan memberi penghormatan kepada jenis manusia ini.
Sheikh Muhammad Abduh di dalam Tafsir Juzuk Amma yang dikarangnya menerangkan: Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa menjadikan manusia daripada air mani dan membentuk segumpal darah. Kemudian menjadi manusia yang cukup sempurna, nescaya kuasa pula menimbulkan kesanggupan membaca pada seseorang yang selama ini dikenal ummi, tidak pandai membaca dan menulis.
Jika diselidik intipati daripada hadis yang menjelaskan nabi SAW disuruh membaca sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga baginda menjawab dengan jujur bahawa baginda tidak pandai membaca dan menulis. Tiga kali pula Jibril memeluknya dengan sekuat hati bagi meyakinkannya bahawa pada saat itu kesanggupan membaca sudah ada padanya, apatah lagi baginda adalah al-insan al-kamil (manusia yang sempurna).
Apa yang penting adalah harus mengetahuinya bahawa dasar segala yang akan dibacanya kelak tidak lain dan tidak bukan adalah dengan nama Allah SWT jua.
sumber: e-pondok
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)