Sunday, January 31, 2010

KAMU DAN KASIH SAYANG



Kebanyakan manusia pada hari ini tidak menghalakan emosi kasih sayangnya kepada Allah. Kesannya mereka akan menderita. Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya adalah kezaliman. Kamu menzalimi diri sendiri apabila kamu menghalakannya kepada makhluk lebih dari Allah. Setiap kezaliman adalah penderitaan. Ini adalah punca utama kenapa hari ini ramai manusia menderita jiwanya.

Kasih sayang kepada makhluk dan dunia bagaikan barah yang sentiasa berdenyut dengan penuh kesakitan, ia akan terus membengkak dan sipesakitnya tidak lagi menikmati keindahan hidup. Ia akan terus menjadi pemburu kasih sayang sedangkan kesan buruan itu hanyalah perasaan sedih, marah dan luka kerana segala bentuk kasih sayang di alam ini adalah bayang-bayang sahaja. Hakikat bayang-bayang ialah ia tidak boleh memberi kepuasan, hanya perasaan asyik memandang sahaja seperti melihat perkara yang cantik dalam bentuk gambar.

Mendatangkan kasih sayang bukannya boleh dipaksa, tetapi ia merupakan suatu hal yang perlu difahami dan didalami. Hati yang baik akan melahirkan perasaan cinta setelah ia kenal dan faham kebaikan serta mengenal sifat-sifat mulia yang dimiliki seseorang terhadapnya. Begitu juga, manusia akan mencintai alam setelah mengenal dengan sebenar akan keindahannya.

"Tidak kenal maka tidak cinta," itulah pepatah yang perlu diselami. Jika hati kamu tiada kecintaan yang mendalam kepada Allah, jawabannya kamu belum mengenal Allah. Lantaran kejahilan kamu terhadap Allah, segala ibadah yang kamu lakukan adalah bagaikan debu ditiup angin. Hati kamu kosong dengan penawar racun dalam hatimu, kamu terus bersifat angkuh, riya', tamak, dengki, dendam, mencintai manusia dan makhluk secara berlebihan. Kamu akan utamakan kehidupan dunia dari kerinduan untuk bertemu dengan-Nya.

Ubatilah penyakit ini dengan ilmu agar dengan ilmu makrifat yang hakiki, kamu akan melihat alangkah kosongnya kehidupan manusia, walaupun ia dikelilingi dengan segala kemewahan dan kasih sayang manusia, kerana segala kasih sayang tersebut akan hancur apabila mereka memejamkan mata meninggalkan alam ini. Di bawah sana, sudah tidak bernilai segala bentuk kasih sayang kecuali kasih sayang Allah dan kasih sayang berdasarkan iman.

Manusia mengecapi nikmat kasih sayang lebih kurang 60 tahun sahaja di dunia ini, sedang kehidupan yang dilaluinya diteruskan dengan penderitaan jiwa akibat kehilangan kasih sayang. Api kemarahan dan kebencian sedang menanti untuk menjilat kehidupannya yang panjang di akhirat sana.

SUMBER:http://members.tripod.com/bicara_tokku/ks5.htm

0 Comments:

Your Comment here (Komen anda di sini)