Thursday, December 23, 2010

AMALAN BACA AL-QURAN BANTU RAWAT MASALAH EMOSI

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Kitab suci mukjizat teragung perkukuh kekuatan dalaman, berikan ketenangan jiwa.

KEHIDUPAN di dunia ini sentiasa silih berganti antara kebahagiaan dan penderitaan. Ketika ditimpa kesusahan, jiwa menjadi gelisah dan murung kerana memikirkan permasalahan dihadapi.

Kata Ibnu Mas’ud, bagi setiap kegembiraan ada kesedihan dan tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi kesenangan kecuali tempat itu juga diisi oleh kesedihan.

Biasanya kita akan berehat atau melakukan sesuatu aktiviti bagi mengatasi masalah emosi. Sebenarnya ubat paling mujarab ialah membaca al-Quran, iaitu amalan yang semakin ditinggalkan kecuali apabila tiba Ramadan.

Selain mendapat pahala, membaca al-Quran adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup.
Allah berfirman bermaksud: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” (Surah al-Israa’: 82).

Firman Allah lagi bermaksud: Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57).

Membaca al-Quran selain satu ibadat, juga boleh menjadi ubat atau terapi mengubati jiwa yang gelisah, gundah atau ketika fikiran berserabut.

Diriwayatkan, ada seorang lelaki datang menemui Abdullah bin Mas’ud untuk meminta nasihatnya kerana lelaki itu sedang berserabut dan jiwanya resah gelisah. Abdullah kemudian menasihatkan lelaki itu: “Pergilah kamu ke tempat orang yang membaca al-Quran dan mendengar baik-baik orang membacanya. Kamu juga boleh membacanya sendiri.”
Selepas itu, lelaki berkenaan pulang dan mengamalkan pembacaan al-Quran seperti dinasihatkan Abdullah bin Mas’ud. Lelaki itu berasa jiwanya cukup tenang dan amat tenteram. Fikirannya tidak lagi berserabut memikirkan masalah dunia.

Sebenarnya bukan lelaki itu saja membaca al-Quran berasa tenang dan aman, tetapi semua orang yang membacanya dengan hati khusyuk ditambah pula memahami akan maknanya akan mampu merasai kemanisan iman. Begitulah hebatnya mukjizat al-Quran.

Membaca al-Quran adalah satu cara mengingati Allah. Orang yang sentiasa mengingati Allah dalam apa situasi sudah pasti jiwa berada dalam keamanan dan tenteram.

Firman Allah bermaksud: Orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d: 28).

Sumber: http://epondok.wordpress.com/

2 comments:

  1. cuba untuk jadi orang terbaik ..........
    tolong ingatkan aku-----ana rafali
    tolong deh

    ReplyDelete
  2. Great blog post thanks for sharing

    ReplyDelete

Your Comment here (Komen anda di sini)