SESUATU perkara yang berlaku adalah kehendak dan kurniaan daripada Allah SWT. Manusia harus menerima dengan perasaan reda dan merendah diri kerana pada dasarnya segala-galanya adalah untuk kebaikan umat manusia.
Setiap ciptaan mempunyai tujuan tersendiri dan bukanlah sia-sia seperti anggapan sesetengah masyarakat. Firman Allah SWT bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa ada ciptaan Allah yang tiada mempunyai tujuan serta sia-sia?” (Surah al-Mukminun, ayat 115)
Ada perkara yang tersirat kadang kala tidak menggambarkan apa yang tersurat. Namun, peradaban dalam Islam amat dititikberatkan kerana Islam tidak sekali-kali membenarkan perasaan orang lain terganggu akibat sesuatu tindakan yang kita lakukan.
Sesiapa yang bersin hendaklah menyebut ‘Alhamdulillah’ dan berkatalah mereka yang berada di sisinya ‘Yarhamukallah’. Inilah salah satu antara hak orang Islam terhadap saudaranya yang lain (mendoakan ketika bersin). – Hadis riwayat Aishad dari Abi Ya’la
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin, hendaklah meletakkan tangannya di mulut dan merendahkan suaranya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Di sinilah letaknya keadilan dan kesaksamaan Islam yang mana segala gangguan mental dan fizikal terhadap orang lain adalah dilarang walaupun kepada golongan bukan Islam.
Antara perkara yang sering dilupai umat Islam ialah ‘bersin’ dan disiplinnya. Ramai menganggap ia perkara biasa dan tiada kaitan dengan agama. Sebenarnya bersin mempunyai disiplin tersendiri yang perlu dijaga supaya tidak mengganggu perasaan orang lain ketika kita bersin.
Kita dianjurkan supaya tidak meninggikan suara serta mengucapkan pujian kepada Allah SWT (Alhamdulillah) serta menutup hidung dan mulut ketika bersin. Dianjurkan pula mereka yang mendengar pujian itu mendoakan dengan rahmat Allah SWT (Yarhamukallah).
Sesungguhnya al-Quran dan sunnah penuh dengan hukum dan hikmah untuk kemaslahatan manusia. Ada ulama’ menyebut: “Jika hanya ada seratus perkara dalam al-Quran dan sunnah, nescaya kita akan menyelaminya dengan mudah. Tetapi hakikatnya, di sana terdapat ribuan perkara yang datang dalam pelbagai bentuk dan cara.”
Hikmah diciptakan bersin kepada manusia adalah berdasarkan beberapa perkara, antaranya untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang sentiasa menitikberatkan hubungan hamba dan Penciptanya dalam semua keadaan. Oleh itu, setiap pekerjaan dilakukan mempunyai doa tersendiri daripada Baginda SAW.
Jawapan yang diucapkan daripada orang yang bersin serta mereka yang mendengar pujian dapat menciptakan suasana keislaman dalam masyarakat serta menggalakkan mengingati Allah SWT.
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin hendaklah menyebut ‘Alhamdulillah’ dan berkatalah mereka yang berada di sisinya ‘Yarhamukallah’. Inilah salah satu antara hak orang Islam terhadap saudaranya yang lain (mendoakan ketika bersin).” (Hadis riwayat Aishad dari Abi Ya’la)
Syekh A’llamah Al-Haliimy berkata: “Bersin juga akan mengurangkan tekanan yang terdapat dalam pemikiran selepas banyak berfikir. Oleh sebab itulah orang yang menjawab berkata: “Semoga Allah lapangkan pemikiranmu.”
Berkata Ibnu A’rabi, bersin akan mengejutkan segala saraf bermula daripada kepala ke bahagian tengkuk dan ucapan Yarhamukallah daripada mereka yang mendengar bermaksud supaya Allah kembalikan sarafnya seperti sedia kala.
Ibnu Abi Hamzah berkata, bersin adalah satu nikmat Allah SWT kepada hambanya untuk menghilangkan kemudaratan dalaman manusia. Oleh sebab itulah mereka yang bersin dianjurkan memuji Allah SWT dan mereka yang menjawab pujian itu sangat dituntut oleh Islam dan mendapat ganjaran Allah SWT. (Kitab Fathul Bari)
Begitu juga jalinan ukhuwah antara umat Islam selepas berlaku dua hubungan antara orang yang bersin dan mereka yang menjawabnya. Mereka saling mendoakan antara satu sama lain sehingga melahirkan hubungan yang kukuh antara umat Islam.
Perasaan persendirian, keegoan serta permusuhan adalah penyakit masyarakat dan adalah mukadimah kepada keruntuhan agama. Sesungguhnya bersin dapat mewarnai sikap layanan yang baik terhadap orang lain dan dapat menjelmakan semangat kasih sayang antara umat Islam.
Islam juga menafikan fahaman masyarakat jahiliah dulu yang menganggap mereka yang bersin adalah pembawa sial dan berpenyakit. Ada juga sebahagian daripada mereka menganjurkan diputuskan atau diusahakan tidak bersin supaya tidak tergolong daripada golongan yang sial.
Mereka juga akan menjawab kepada yang bersin mengikut penilaian orang itu pada pandangan masing-masing. Contohnya, jika orang itu disukai maka mereka akan mendoakan supaya sihat dan panjang umur. Jika orang itu dibenci maka jawapannya adalah celaka dan mati. Ada juga yang menjawab, itu (sial) adalah untukmu dan bukan untukku.
Doa keampunan diungkapkan mereka yang bersin dan mereka mendengarnya telah membina satu ikatan malah dengan jawapan semula oleh orang yang bersin dengan doa hidayah untuk kedua-duanya dapat membina kasih sayang antara keduanya. Doa inilah yang memadamkan fahaman jahiliah yang menggalakkan kezaliman dan permusuhan sesama manusia.
Sumber: Di Sini
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)