Allah SWT amat memberikan perhatian kepada hati. Al Quran menggunakan istilah qalb (hati) sebanyak 132 kali, makna dasar kata itu ialah membalik, kembali, berubah atau naik-turun. Sesuai dengan latar belakangnya hati mempunyai sifat yang selalu berubah, sebab hati adalah nukleus dari kebaikan dan kejahatan, kebenaran dan kesalahan.
Hati kita unik, boleh jadi kuat, dinamik, juga boleh sakit dan menjadi buta. Firman Allah SWT.
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada” (al-Hajj:46)
Inilah yang menjadi masalah kepada hati manusia tatkala hatinya sudah menjadi buta. Tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Maka amat penting bagi kita wahai anak muda untuk sentiasa menjaga dan merawat hati kita agar jangan sampai buta. Buta!? Ala..hati yang buta bukan mata? Masih dapat melihat lagi. Ya ke? Cuba anda pejamkan sebentar mata anda. Apa yang anda nampak? Gelapkan? Sekarang cuba berjalan ke hadapan. Apa perasaan anda? Takut tersungkur atau terlanggar sesuatu? Susah bukan apabila mata buta. Selama ini boleh melihat dan memandang, tapi bila gelap kita akan rasa tidak selesa. Sekarang bayangkan kalau hati kita pula yang buta? Tidak mendapat petunjuk, hidayah dan kasih sayang Allah. Agaknya jika terus berjalan dalam keadaan hati buta, sudah banyak mana peraturan dan perintah Allah telah kita langgar? Makin parah walaupun hatinya sudah buta dan tersungkur di pintu neraka, dia masih tidak dapat merasai apa-apa pun. Bahkan dia terus berjalan dengan kesombongan dan keegoan menghimpun dosa-dosanya. Agaknya bagaimana pula keadaan kita apabila hati kita bukan sahaja buta, tetapi sudah mati?
“Sesungguhnya telah Kami sediakan untuk penghuni neraka dari golongan jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah, mereka mempunyai mata, tetapi tidak dipergunakan untuk melihat, mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak , bahkan lebih sesat lagi. Mereka adalah orang-orang yang alpa (tidak berzikir) ” (Al-A’raf:17 )
Firman Allah SWT lagi:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Asy Syam: 9-10)
Meyakini Al Quran Terapi Bagi Segala Permasalahan
Disepanjang saya berprogram bersama dengan generasi muda, mana-mana mahasiswa, pelajar, remaja dan belia yang bermasalah samada dari segi sikap, akhlak, tingkah laku, attitude, berfikir, bertindak, ibadah hatta study, majoriti golongan ini jauh dari Al Quran.
Seorang pegawai agama dari sebuah majlis agama Islam negeri berkongsikan kepada saya pengalamannya dalam berhadapan dengan kes-kes keruntuhan rumahtangga di negerinya, ternyata puncanya jiwa-jiwa mereka jauh dari Al Quran.
Kenapa Al Quran? Apa hubungkaitnya dengan hati dan kehidupan kita? Kita tahu bahawa Al Quran yang sama di baca oleh para pemuda pemudi Islam di zaman Rasulullah SAW lantas para pemuda ini bangkit menjadi luarbiasa hati dan jiwa mereka. Hati mereka solid, kukuh dan padu dengan Al Quran.
Hakikatnya Al Quran diturunkan ke dalam hati Rasulullah SAW untuk digunakan bagi membangun umat Islam yang wibawa dan berkualiti, bagi membangun peradaban manusia berpaksikan Al Quran serta merawat hati nurani, akhlak dan akal manusia.
Maka sudah tentulah terapi pertama dan utama dalam mendidik hati kita adalah Al Quran. Inilah solusi kepada permasalahan umat hari ini. Kita harus yakin dengan Al Quran, bukan sekadar yakin membaca Al Quran beroleh pahala, tetapi yakin bahawa Al Quran lebih daripada itu. Allah SWT berfirman, maksudnya,
“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)
Firman Allah SWT lagi,maksudnya,
“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (al-Isra: 82)
Al Quran bukan sekadar sebuah syair atau puisi yang sedap dilagu-lagukan semata, tetapi ianya sebuah petunjuk bagaimana kita harus beraksi dan berprestasi di dunia berpaksikan wahyu dan terselamat dari azab. Firman-Nya:
“(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan; Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.” (Yaasin:69-70)
Melalui ayat di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa barangsiapa yang sentiasa memandang positif dan yakin dengan semua peringatan yang disampaikan Al-Quran dan menjadi Al Quran sebagai cara hidupnya, maka ia akan mampu memiliki hati yang selalu hidup dan memiliki daya kesedaran yang tinggi. Dia akan berfikir, bertindak, berinteraksi, belajar, bekerja, berakhlak, berkahwin, berkerjaya dan hidup keseluruhannya berpaksikan Al-Quran, di bawah payungan hidayah Allah SWT dan akan sentiasa berada di bawah bimbingan-Nya.
Ibnu Kathir berkata dalam menjelaskan ayat di atas, kita harus faham bahawa menetapkan keimanan dalam hati akan selalu mendorong kita siap siaga beramal dan hidup menurut kehendak Allah. Sedangkan kekufuran yang ada dalam hati hanya akan mematikan aktiviti hati itu sendiri dan membuatnya mati.
Al-Quran telah menjelaskan tentang hakikat hati yang hidup, yakni hati yang dapat menerima ajaran Islam dan tenang bersamanya. Hati yang sebeginilah yang membuat pemiliknya selalu berada dalam tuntunan dan bimbingan-Nya. Dan di lain kesempatan, Al-Quran juga memberikan gambaran tentang hakikat hati yang mati dengan segala kegersangan dan kegelapan. Firman Allah SWT:
“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” (Az-Zumar:22-23)
Tafsir Ibn Kathir dan Fizilal Quran menjelaskan ayat di atas bahawa hati bagi kaum muslimin adalah kehidupannya yang sarat dengan iman dan ajaran-ajaran-Nya sebagaimana tergarap dalam Al-Quran. Dengan kehidupan sebeginilah maka seseorang akan selalu bertaqwa kepada-Nya, yang kemudian berimplikasi pada kewaspadaannya dalam melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya serta selalu menaruh harapan agar Allah SWT selalu mengampuni semua kesalahan yang pernah dibuatnya. Juga akan berimplikasi pada semangatnya yang tinggi untuk menerima ajaran Al-Quran.
Rumusan akhir dari tulisan kali ini, jika kita ingin memperbaiki hati kita hendaklah kita sedar dan mengetahui bahawa berubat dengan Al-Quran itu tidak cukup hanya dengan membaca al-Quran sahaja, tetapi harus memahami, mengambil pelajaran dan mematuhi hukum-hukum yang terkandung di dalamnya. Punca kepada ketidakpatuhan dan ketidakmahuan untuk ikut dan komited dengan Al-Quran adalah kerana hatinya yang bermasalah, dikuasai nafsu syahwat dan syubhat.
Ibnu Qayyim berkata, “Inti penyakit hati itu adalah syubhat dan nafsu syahwat. Sedangkan Al-Quran adalah penawar bagi kedua penyakit itu,kerana di dalamnya terdapat penjelasan-penjelasan dan panduan yang tepat, yang membezakan antara yang haq dengan yang batil, sehingga penyakit syubhat hilang. Penyembuhan Al-Quran terhadap penyakit nafsu syahwat, kerana di dalam al-Qur’an terdapat hikmah, nasihat yang baik, mengajak zuhud di dunia dan lebih mengutamakan kehidupan akhirat.”
Marilah kita berdoa, Ya Allah, jadikanlah Al-Quran itu sebagai perawat, peneman, penawar hati, penguat dan penghilang kegundahan dan kegelisahan hati-hati kita. Amin.
Sumber: http://langitilahi.com/5763
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)