KITA berada jauh ke hadapan dalam teknologi dan ilmu pengetahuan. Kemudahan komunikasi dalam kehidupan lebih jauh berbanding masa silam. Kita melihat kemajuan berlari pantas walaupun ada kebaikan dan keburukan hasil kemajuan itu.
Ilmuwan semakin ramai tetapi masih tidak mampu dibandingkan dengan cendekiawan terdahulu. Kita masih ketandusan pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Cara pemikiran berbeza dan permasalahan baru kian banyak melanda manusia.
Perkara ini dijelaskan Baginda SAW dalam sabdanya bermaksud: “Akan datang satu masa di mana kamu akan mendapati amat ramai mereka yang belajar tetapi sukar melahirkan ulama berwibawa.”Syariat Islam dan lain-lain syariat tidak sunyi daripada lima perkara asas yang perlu dijaga dan dipertahankan iaitu agama, jiwa, akal, harta dan kehormatan.
Kesempurnaan syariat Islam dalam memelihara lima perkara itu terkadang datang dalam bentuk nas atau dalil nyata, daripada pandangan ulama atau qias.
“Kaedah terakhir dalam hal ini ialah konsep menutup pintu untuk menyelamatkan umat dari kehancuran atau konsep keterbukaan jika tiada sebarang risiko kerosakan dalam masyarakat,”
Konsep menutup pintu atau larangan itu atas dasar mengelak sesuatu yang lebih besar selain menjaga kemaslahatan umum seperti firman Allah melarang umat Islam mencerca penyembahan orang kafir.
Tujuannya adalah untuk menjaga kesucian nama Allah daripada dicerca orang lain walaupun cercaan terhadap sembahan selain daripada Allah itu adalah diharuskan.
Larangan Allah kepada orang beriman supaya menutup serta menjaga pandangan mereka (menutup ruang) walaupun perkara itu diharuskan kerana nikmat penglihatan adalah anugerah Allah.
Bagaimanapun, pandangan lelaki terhadap wanita atau sebaliknya adalah jalan kepada fitnah dan kerosakan, maka Islam melarang meletakkan pandangan melainkan kepada mereka yang dihalalkan saja.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad kepada orang beriman lelaki dan wanita supaya menutup pandangan mereka.” (Surah Nur, ayat 30-31)
Perkara ini juga dijelaskan melalui hadis Baginda SAW berkaitan melepak di tepi jalan serta melihat orang lalu lalang sedangkan duduk di sana adalah sesuatu yang diharuskan.
Sabda Baginda SAW bermaksud: “Janganlah kamu melepak di tepi jalan. Lalu jawab sahabat: Bagaimana dengan kelompok perbincangan kami di sana? Jawab Baginda SAW: Jika begitu, hendaklah kamu memberi hak kepada mereka yang menggunakan jalan itu. Sahabat bertanya: Apakah hak mereka wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW:
Hendaklah kamu menjaga pandangan, jangan mengganggu, jawab salam, menyeru kepada perkara baik dan mencegah kemungkaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Larangan itu cara Islam mementingkan prinsip menutup pintu demi keselamatan umum dengan meletakkan syarat tertentu bagi mencapai konsep keterbukaan.
Dari pandangan akal, konsep ini dapat dilihat apabila ibu melarang anaknya memakan gula-gula bagi memelihara kesihatan gigi walaupun ia bukan kesalahan, tetapi demi kesihatan anaknya.
Begitu juga ketetapan had laju kenderaan bagi menyelamatkan pengguna jalan raya, isyarat lalu lintas untuk mengelakkan kemalangan, antara contoh prinsip ini dalam kehidupan.
Di sinilah peranan hukum fikah bagi memastikan kehidupan manusia aman. Keperluan ulama berwibawa menangani isu semasa adalah kemestian kerana mereka yang arif syariat dan ehwal semasa dapat menangani masalah ini.
sumber: e-pondok
0 Comments:
Your Comment here (Komen anda di sini)